Showing posts with label perkongsian. Show all posts
Showing posts with label perkongsian. Show all posts

Wednesday, September 14, 2011

perkongsian karya

Assalamualaikum warahmatullah...

Hari-hari yang berlalu, terasa begitu pantas masa melambai meninggalkan kita. Terlalu cepat jam berputar merentasi masa. Tapi bagaimanakah kita? Bagaimana dengan keadaan kita? Adakah kita mengejar dan memanfaatkan masa sepantas mana ia berlalu? ataupun masa itu kita tanam di kuburan sia-sia sahaja??

Kali ini ana tertarik dengan sebuah cerpen. Memaknakan kita apa itu cinta. Cinta Ilahi. Cinta yang Satu. Itu bukan bermakna cinta Ilahi hanya terhad kepada beribadah semata. Tapi cinta Ilahi terselit di mana-mana. Meskipun ketika merasai cinta manusia yang berasaskan cinta Ilahi, itu juga cinta Ilahi..

Jom baca cerpen. Mempersembahkan, Yang Tertinggi Cintanya- karya di Langititlahi.com...=)




Cerpen: Yang Tertinggi Cintanya.

Al-Quran itu dipegang dengan kemas. Mata menumpukan perhatian. Hati seakan-akan sedang bersemayam di atas awan. Membaca dengan penuh penghayatan.
Dia perlukan ketenangan yang lebih. Allah sedang mengujinya.
Surah Toha itu dialun suaranya, gemersik memenuhi ruang biliknya. Surah kesenangan di kala gundah, surah kekuatan di kala susah.
“Ehem.”
Dan pembacaannya terhenti. Perlahan-lahan dia menoleh.
Farid Mursyidi sedang menyandarkan bahu pada bingkai pintu, dengan wajah dihiasi senyuman nakal.
“Nak apa?” Dia bertanya perlahan, sambil memusingkan seluruh tubuhnya, tetapi masih kekal bersila. Dia tahu, pastinya Farid perasan wajah monyoknya itu. Perlahan-lahan Farid mendekatinya.
“Masih bermasalah dalam membuat pilihan wahai sahabatku Syakir Muntasir?” Bahunya ditepuk, dan Farid kini bersila di hadapanya. Lutut bertemu lutut.
“Aku masyghul la. Keputusan yang sukar.” Syakir menggaru kepala.
“Istikharahnya macam mana?”
“Apa, kau ingat semua istikharah keluar mimpi bagi jawapan? Kalau macam itu baik aku istikharah setiap malam periksa.” Syakir menjelirkan lidah. Farid seakan-akan tidak tahu bagaimana sistem istikharah yang sebenarnya berfungsi.
Farid tertawa senang. Bahu Syakir ditepuk beberapa kali. Mungkin memahami, sambil terkesan dengan canda tadi.
Istikharah bukanlah satu keajaiban untuk menggolekkan jawapan kepada kita. Istikharah hakikatnya perlu diiringi usaha membuat kalkulasi yang baik. Tanda istikharah bukan semestinya mimpi, tetapi hakikatnya adalah ketenangan hati yang kuat apabila membuat keputsan.
“Aku nampak jalan ke sebelah B lebih benar dan aku macam lebih tenang ke sana.” Syakir melepaskan keluhan. Nampak bahawa Jalan B bukan jalan pilihan asalnya.
“Kau rasa, kalau kau pilih jalan B, jalan A akan hilang?”
Dan kini matanya dan mata Farid bertaut. Sengih kelat muncul pada wajah Syakir. “Lebih kurang. Kau tahu aku cintakan Humaira’ bukan? Aku hanya perlu tunggu dua tahun sahaja lagi.”
“Tapi pada masa yang sama, kau perlu berkahwin sekarang. Kau adalah orang yang siap, sudah bersedia, dan kau memang perlu kahwin. Kalau tak, resah gelisah tak berhenti. Fokus terganggu. Namun, memilih Anum Sakeena ada downsidenya.”
“Ada ‘banyak’ downsidenya.” Syakir menambah.
Farid pula yang menghela nafas kali ini. Ya, keputusan yang sukar.
“Kadang-kadang Syakir, walaupun kita ini manusia yang ikuti jalan dakwah dan tarbiyah, kita masih terikat dengan gari-gari dunia bukan?” Farid menolak tubuh, bersandar pada dinding. Melunjur kaki, sambil memandang siling.
Jiwa Syakir seakan tercucuk dengan kalam itu. Dia melihat sahaja sahabatnya itu.
“Maksud?”
“Yalah. Kalau aku, aku akan biarkan sahaja Anum. Aku akan sanggup tunggu Humaira’. Aku sanggup menderita dua tahun, dari ambil risiko duduk dengan Anum. Tambahan, dalam posisi kau, aku cintakan Humaira’. Tinggal…” Kata-kata Farid terhenti. Dia melirik kepada Syakir.
Mata Syakir dan Farid bertemu. Syakir hanya diam. Ingin Farid menyempurnakan bicara.
“Tinggal kita tahu, Anum memerlukan bantuan kita, pertama. Kedua, dalam posisi kau, kita memerlukan kehadiran Anum yang sanggup berkahwin dengan kita sekarang. Ketiga, hajat Anum bukan hajat yang kecil, dan belum ada yang sanggup membantunya, sedang kita telah terlanjur memikirkannya, tambah pula dalam posisi yang siap untuknya.”
“Kita? Kau ajalah yang pergi ambil Anum.”
Farid tertawa. “Kita di sini bermaksud kau lah. Aku mana mampu kahwin lagi. Kau dah mampu, tinggal kena tunggu sebab nak kejar cinta sahaja. Itulah yang aku kata, kita ini walaupun ikut jalan dakwah dan tarbiyah, kita masih terikat dengan gari-gari dunia. Kita amat tahu relevannya hajat Anum, tetapi kita rasa sukar nak penuhi hajat dia, sebab hajat dia tak ada harganya di atas dunia. Hanya berharga di akhirat sana. Aku sebut kita, sebab kalau aku jadi engkau, aku sendiri jadi berat.”
Suasana bilik itu senyap sebentar. Seakan menunggu giliran, azan isya’ dari Masjid University of Yarmouk kedengaran. Azan mendayu-dayu, seakan waktu rehat dari perbincangan yang mengkusutkan itu.
Dunia dan akhirat. Orang-orang yang mengikuti jalan dakwah dan tarbiyah pun, adakalanya masih tergari dengan dunia. Sedangkan, secara sedarnya, dia tahu apa pilihan yang patut dia lakukan.
Azan tamat. Doa. Mata Farid dan Syakir kembali bertemu. Masih senyap.
Perlahan-lahan Farid berdiri, dan mendekati Syakir. Bahunya disentuh lembut.
“Mungkin ada waktu itu, kita kena belajar untuk campak segala-galanya, dan hanya percaya kepadaNya. Kena berani buat leap of faith.”
Kemudian Farid bergerak keluar dari bilik. Pastinya hendak menuju ke masjid.
Syakir keseorangan.
Campak segala-galanya, dan hanya percaya kepadaNya.

*******

Anum Sakeena. Seorang yang pada zahirnya kelihatan seperti bidadari. Dia lawa. Dia cerdas. Dia juga aktif dalam urusan dakwah dan tarbiyah. Lebih mencantikkan peribadinya, dia tiada kasta. Dengan rakan-rakan yang tidak berapa faham Islam pun, dia masih bergaul, mendekati, dan memesrai. Sebab itu pelajar-pelajar perubatan dan pergigian di Jordan amat mengasihinya. Pembetulan, semua pelajar di Jordan ini mengasihinya.
Namun Allah SWT menguji. Anum Sakeena dipercayai mempunyai Systemic Lupus Erythematosus atau SLE. Satu penyakit yang akan meragut nyawanya untuk satu jangka masa yang tidak lama lagi. Tetapi tiada siapa yang melihat Anum Sakeena bersedih hati atau kegelisahan. Dia seakan-akan manusia paling tabah yang berjalan di atas dunia ini. Dia tidak pula pulang ke Malaysia dan berhenti belajar seakan-akan dunia telah kiamat. Dia masih meneruskan kehidupan, studi dengan rajin, dan hidup dengan gembira.
Tetapi, ada satu perkara yang menggusarkan Anum Sakeena. Dan perkara itu tidak diceritakan kepada sesiapa, kecuali seorang manusia yang diyakininya dalam keadaan mampu, dan mungkin akan membantunya.
Itulah dia Syakir Muntasir. Pelajar Tahun 3 Fiqh Wa Usuluhu di University of Yarmouk. Satu angkatan dengan Anum Sakeena, tinggal Anum Sakeena mengambil pengkhususan Iqtisod Islami.
Syakir Muntasir sangat terkenal dengan manusia yang lebih tua dari usianya. Walaupun di luar Syakir kelihatan seperti manusia yang tidak peduli apa-apa, tetapi apabila keadaan memerlukan seorang Syakir Muntasir untuk serius, tiada sesiapa yang mampu menghentikannya. Fikirannya matang, fikrahnya jelas, disiplinnya tinggi, pandangannya jauh, dan dia seorang yang siap untuk memikul tanggungjawab yang besar, juga mampu menghadapi banyak dugaan kehidupan.
Dan Anum Sakeena amat pasti, Syakir Muntasir sedang mempersiapkan diri ke gerbang perkahwinan, memandangkan ura-ura bahawa lamaran lelaki itu ditolak, atau lebih tepat lagi, ditangguhkan untuk diterima, telah tersebar dalam komuniti di sini. Perempuan itu nampaknya tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab pada ketika ini. Dua tahun dimintanya tangguh. Berita sebegini tidak sukar didapati, kerana Syakir Muntasir sangat terkenal di sini. Sama ada dia mendiamkan segala cerita di dalam tubuhnya seorang, atau cerita itu akan bergerak meliputi seluruh Jordan dalam masa yang sekejap sahaja. Dan Syakir Muntasir juga manusia, pasti paling kurang dia akan berkongsi masalah hidupnya dengan teman-teman karib.
Mendengar berita itu, Anum Sakeena terasa seakan-akan Allah membukakan jalan untuknya. Walaupun dia tidak tahu, apakah perancangan Allah SWT yang sebenarnya, namun nyatanya dia telah membuat kalkulasi dan merasakan inilah yang terbaik. Maka dengan berani, setelah mendapat izin ibu ayahnya, dia mewakilkan seorang senior tahun 6 Perubatan untuk menyampaikan hajatnya kepada Syakir Muntasir.
“Anum Sakeena ingin dirinya dikahwini Syakir Muntasir, kerana adalah satu hajatnya yang besar sebelum meninggalkan dunia ini dia meninggalkan satu saham akhirat yang besar untuk dirinya, dan meninggalkan satu hadiah yang besar untuk Islam di atas dunia. Itulah dia seorang anak. Anum Sakeena ingin ada cebisan dirinya, yang tinggal di atas dunia ini untuk terus memberikannya pahala, dan berjuang untuk Islam buat dirinya.”
Dan saban hari, Anum Sakeena berdoa agar Allah SWT memakbulkan hajatnya, atau memberikannya sesuatu yang lebhi baik.
Itulah hajatnya.
Dan bukan sebarang orang akan menyahutnya.

******

Lepaskan segala-galanya. Hanya percayakan Dia!
Syakir bangun dari pembaringannya malam itu. Saat dia yakin dan tenang dengan keputusannya. Saat dia membuat keputusan, untuk membuat satu anjakan paradigma, lompatan saujana yang akan mengubah lorong hidupnya.
Dia mencapai telefon bimbitnya. Ibu Humaira’ dihubungi.
“Ibu, Syakir rasa, Syakir nak buat keputusan ini.”
Dan hanya esak tangis sahaja kedengaran. Syakir tabah. Tidak tergugah.
Ummi Abahnya dihubungi. “Syakir nekad.”
Dan Ummi Abahnya tidak berkata apa-apa lagi. Menyokong, dan mendoakan.
Dia menggenggam erat tangannya. Keputusan yang berat. Tetapi hendak diluahkannya.
Lepaskan segala-galanya. Hanya percayakan Dia!
Mendail nombor terakhir. Kak Rasyidah, pelajar perubatan tahun 6 yang menghubunginya tempoh hari mewakili seorang Anum Sakeena.
“Akak, saya setuju. Sampaikan kepada Anum.”
Dan selepas itu dia terduduk.
“Aku telah membuat lompatan itu Ya Allah. Dan sekarang, aku serahkan diriku sepenuhnya kepada Engkau. Sungguh, aku hanya hambaMu yang tidak mengetahui apa-apa. Membuat keputusan ini, sekadar ingin menghormati seorang mujahidah yang benar-benar mencintaiMu Ya Rabb. Nyatanya, aku sebelum ini tidak mencintaiMu sehebat Cintanya, yang walau matipun masih ingin terus berjuang untukMu.”
Bukan senang melepaskan apa yang selama ini dikejar. Bukan senang memilih sesuatu yang diketahui tidak lama lagi akan hancur. Bukan senang hendak mengenepikan pilihan sendiri, perasaan hati, untuk memilih sesuatu yang benar dan hakiki, kerna biasanya walaupun pilihan diri itu salah, itulah yang disenangi. Dan hari ini dia melakukan, apa yang ramai manusia tidak mampu.
Lepaskan segala-galanya. Hanya percayakan Dia.
Air mata mengalir deras di pipi Syakir Muntasir malam itu.

******

“Sebenarnya, berapa lama lagi masa untuk awak hidup?” Soalan itu muncul dikala langit sedang indah ditemani bulan mengambang.
Anum menatapnya, dan tersenyum. “Tidak tahu. Tetapi doktor kata, boleh jadi panjang sekiranya tidak melahirkan anak. Awak pun dah dengar nasihat doktor masa awal-awal teman saya buat pemeriksaan semula dulu, bukan?” Dulu. Macam telah lama. Sedangkan, mereka baru setahun berkahwin.
“Jadi, kenapa hendak melahirkan anak?”
Senyuman Anum melebar. Dan senyuman itu sangat-sangat indah. Bulan mengambng jua bukan tandingan. Nyata ini syurga yang berada di atas dunia. Dan Syakir merasainya.
“Awak sudah tahukan?”
Dan giliran untuk senyumannya pula memekar.
“Tidak takut?”
Anum menggeleng. “Sebab akhirnya, kita akan mati juga. Lebih baik mati meninggalkan sesuatu untuk akhirat kita, daripada mati tidak memberikan apa-apa.”
Tangan Anum dipegang erat. Dikucup. “Saya minta maaf.” Lembut Syakir bersuara.
Anum mengiring. Kerusi malas yang menjadi tilam pembaringan mereka kini berbunyi. Antara aktiviti kegemaran, berbaring di atas kerusi malas bersama-sama, sambil menatap bulan mengambang indah. “Kenapa nak minta maaf?”
“Sebab awal-awal dahulu, saya tidak mencintai awak. Saya sebenarnya ragu-ragu. Tetapi hari ini, saya rasa saya tidak sepatutnya ragu-ragu. Saya sepatutnya terus menyahut.” Syakir turut mengiring. Wajah mereka berhadapan.
Majlis kahwin mereka sederhana sahaja. Ummi Abah datang ke Jordan bersama keluarga Anum, dan mereka berkahwin di Jordan. Saudara mara yang tahu, tidak ramai memberikan sokongan. Sebab semua melihat seakan-akan dia melemparkan diri ke dalam satu kecelakaan. Dia dihujani pelbagai tohmahan dari keluarganya sendiri yang tidak memahami. Abah dan Ummi pun tidak banyak membincangkan hal ini, kerana pada asalnya, Abah dan Ummi juga tidak berapa setuju. Tinggal keyakinannya sahaja yang akhirnya membuatkan tindakan itu mendapat restu.
Bukan satu keputusan yang mudah.
Hanya yang berani melepaskan segala-gala, dan percaya hanya padaNya sahaja yang mampu.
Tetapi hari ini, kepercayaan Syakir itu terasa seperti telah dibalas.
“Em, awak memang patut ragu-ragu. Bukan satu keputusan yang ringan. Dan saya yang patut minta maaf. Sebab saya macam dah hancurkan hidup awak. Awak tak berada di atas ‘track’ yang awak nak.” Anum mendekatkan wajahnya, hingga dahinya dan dahi Syakir bertemu.
Syakir menggeleng perlahan. Dahi mereka bergesel. “Ini memang bukan ‘track’ yang saya nak. Tetapi saya rasa, ini ‘track’ yang Allah nak, berdasarkan apa yang saya dapat bila bersama awak selama ini.”
Bayangkan, melihat bakal mayat yang langsung tidak seperti manusia yang berpenyakit maut. Hidupnya tetap ceria. Hidupnya tetap bersemangat dan gembira. Studinya terjaga, bahkan dijaga pula studi Syakir. Anum banyak memunculkan momen-momen indah. Program-program yang mengingatkan mereka berdua kembali kepada Allah SWT juga hangat dirancang oleh Anum. Rumah mereka seakan-akan bercahaya.
Baca Al-Quran sama-sama, malam Jumaat qiamullail bersama, Isnin Khamis puasa bersama, studi bersama-sama, keluar beriadhah di kala petang bersama-sama, pergi berziarah rakan-rakan bersama-sama, melaksanakan program dakwah dan tarbiyah bersama-sama. Dan banyak perkara lagi. Dalam semua itu, dia belajar daripada Anum.
Bagaimana walaupun tahu umur tidak panjang, kekuatan tetap mengisi kehidupan dan diri terus-terusan bergerak dengan cergas hidup sebagai hamba Tuhan. Tidak merungut menyumpah Allah SWT yang memberikannya penyakit itu. Tidak pula mengeluh. Tetapi apa yang dilakukan adalah, mencari segenap ruang dan peluang, mengisi hari-hari yang berbaki untuk menjadi bermakna. Bermakna kepadanya, dan kepadaNya.
Syakir Muntasir bersyukur. Dia tidak tahu bagaimana kalau dia terus menunggu Humaira’. Dua tahun bukan jangka masa yang pendek. Pasti pelbagai halangan, cabaran dan dugaan muncul. Namun memilih Anum, dua tahun itu tidak dilaluinya. Dia melalui saat-saat indah pada setiap masa.
Dia yang awal-awalnya serba salah, kini rasa tenang. Anum Sakeena, seindah namanya. Anum: Rahmat daripada Tuhan. Sakeena: Ketenangan.
Syakir berharap, ketenangan dan kebahagiaannya kekal.
Kekal…
Tiba-tiba terasa tangannya dipegang erat. Dia kembali ke alam realiti, dengan Anum di hadapannya.
“Awak, saya ada satu berita gembira sebenarnya malam ini.”
“Apa dia?” Bibirnya terhias dengan senyuman.
“Saya mengandung. Tiga minggu.”
Matanya membesar.
Kekal…
Itu mustahil bukan?

*******

Harinya tiba. Dan dia hampir sahaja tidak percaya semuanya berlaku dengan pantas.
Kini dia hanya berdiri, dan di hadapannya adalah sekujur mayat yang telah kaku. Minit-minit terakhir amat memeritkan hatinya. Kini air matanya menitik-nitik pada bayi lelaki yang sedang berada dalam gendongannya.
Semalam, Anum Sakeena selamat melahirkan anak. Namun akibatnya, kondiri kesihatannya merudum di tahap kritikal. Kerosakan pada organ dalamannya merebak dengan pantas akibat melahirkan anak. Satu perkara yang telah lama dipesan oleh doktor.
Beberapa bulan yang lepas, Doktor menasihatkan agar digugurkan kandungan untuk memanjangkan lagi nyawa Anum. Tetapi isterinya berkeras.
“Saya tetap akan mati juga!”
Dia sendiri, di dalam hati, inginkan Anum Sakeena hidup lebih lama. Dia bahagia dengan Anum. Dia rasa tenang dengan Anum. Tetapi melihat nekadnya isterinya, dan mengapa mereka berkahwin pada asalnya, membuatkan dia tidak pernah menyebut hajatnya itu. Dia menghormati cita-cita isterinya. Anum Sakeena terus mengandung hingga pada hari melahirkan anak mereka.
Sempat pula menduduki peperiksaan final pada tahun akhirnya, dalam keadaan sarat mengandung. Hari-hari sepanjang mengandung, dia tetap ceria, walaupun kandungan itu seakan bom jangka yang menandakan hari kematiannya.
“Awak tahu apa yang saya seronok?”
“Apa dia sayang?”
“At least, saya tahu bila saya mati. Boleh persiapkan diri habis-habisan.”
Anum menjawab dengan senyuman seakan-akan itu bukan satu musibah.
Ketika itu, Syakir Muntasir terpaksa meminta izin untuk ke tandas, dan menangis teresak-esak di dalam tandas keseorangan. Tersentuh.
“Kenapa awak tak pernah takut? Orang ramai takut mati.”
“Ah ah, takut buat apa? Pelik, kenapa mesti takut untuk balik kepada Yang Maha Mencintai kita?”
Tersentuh. Entah, hari-hari anak itu berada di dalam rahim Anum, terasa seperti saat kemuncak kehidupan seorang Syakir Muntasir. Matanya lebih terbuka. Dia lebih banyak belajar. Hatinya jadi lebih senang tersentuh. Dan pertama kali dia merasakan bahawa, dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Langsung tidak punya tenaga, seakan itulah pertama kali dia menyedari kekerdilan dirinya terhadap Rabbnya.
“Nama dia, Mujahid Muntasir. Pejuang yang mendapat bantuan. Sebagaimana Syakir Muntasir, orang yang bersyukur yang mendapat bantuan.” Dia bersuara menamakan anaknya itu semalam, di hadapan Anum yang teramat lemah.
“Awak dapat bantuan apa?” Anum Sakeena yang pucat lesi ketika itu bertanya sambil tersenyum, walaupun senyumannya ketika itu kelihatan tawar kerana kepenatan dan menanggung kesakitan teramat.
“Allah beri bantuan, untuk saya pertingkatkan kehidupan dan pemikiran saya, dengan awak, sayang.” Jawapannya. Seikhlas hati. Tetapi itu tidak menyelamatkan nyawanya.
“Terima kasih sebab terima saya. Terima kasih, kerana merealitikan impian saya. Sekarang saya rasa sudah tiba masanya.” Anum dengan air mata meleleh, pagi tadi. Meragut segala ketenangan yang wujud di dalam jiwa Syakir.
Doktor memanggilnya masuk pagi tadi, dengan menggendong anak mereka, dia duduk di sisi perempuan yang dicintainya. Nyata, doktor memberikannya peluang untuk mengucapkan selamat tinggal.
Dia tidak mampu berkata apa-apa. Air matanya lebih deras dari air mata Anum.
“Anak Ummi, jadi saham akhirat Ummi ya. Mujahid, jadi Mujahid ya. Membesar jadi anak yang soleh, da’ie yang baik, tewaskan jahiliyyah, dan bawa seramai mungkin manusia ke syurga Allah ya?” Tangan Anum yang terketar-ketar ketika itu, berusaha mengusap lembut bayi mereka.
“Saya cintakan awak Anum Sakeena.”
Anum ketika itu menggeleng. “Awak cintakan Allah, sebab itu awak cintakan saya. Lepas ini, kerana cintakan Allah itu, awak akan berkahwin dan mencintai pula perempuan yang lain. Sebagaimana kerana awak cintakan Allah, awak menerima dan mencintai saya. Awak, jaga diri ya?”
Akhirnya dengan lafaz syahadatain dan wajah penuh ketenangan seperti seorang pemenang, Anum menghela nafas terakhir sebentar tadi. Dan Syakir Muntasir kini sekadar berdiri di sisinya, bersama Mujahid Muntasir yang masih tidak mengetahui apa-apa.
Cinta inilah yang tertinggi.
Cinta kepada Allah, hingga merancang untuk beramal selepas kematian.
Cinta kepada Islam, sehingga merancang untuk terus menyumbang selepas kematian.
Cinta kepada orang sekeliling, hingga mendidik agar semuanya mampu terus bergerak selepas kematian.
Cinta yang sebenar, hingga mampu memutuskan segala gari dunia, yang mengikat pada tubuh hamba. Benar-benar seakan berdiri di atas jalan yang cerah, dan tidak berselirat dengan perangkap ke neraka.
Pada umurnya baru 23 tahun, Syakir Muntasir seakan-akan telah mendapat sesuatu yang besar. Dirinya seakan-akan seorang yang baru.
Teringat dia pada saat dia membuat keputusan ini. Keputusan yang mengorbankan rasa hati, untuk memenuhi rasa Ilahi. Dia melihat apa yang dia perolehi hari ini.
“Ya Allah, aku rasa bersyukur membuat lompatan itu dan mempercayaimu.”
Air mata Syakir Muntasir tidak berhenti.
Dan akhirnya Mujahid Muntasir terjaga, dan menangis.

******

30 tahun. 7 tahun telah berlalu.
“Tua dah kita ni ya?” Suara Farid menariknya kembali.
Syakir mengangkat sebelah kening.
“Belum cukup tua untuk berhenti bekerja sebagai hambaNya.”
“Tua yang itu, hanya di kala mati sahaja.” Farid tertawa.
“Dan ada orang, merancang bagaimana di kala ‘tua’nya, masih mampu menyumbang.” Syakir menghela nafas.
Dia dapat melihat Farid mengangguk perlahan. “Aku banyak belajar daripada dia. Nyata, dua tahun bersamanya adalah untuk menjadikan aku, aku yang hari ini.”
“Kita sama-sama belajar daripada dia. Semoga Allah rahmati dia di akhirat sana.” Farid bersuara, sambil terus memandang horizon.
Bunyi ombak menghempas pantai mengisi ruang senyap antara mereka.
“Abah, abah!” Satu suara memanggil.
Dia dan Farid sama-sama menoleh. Seorang anak lelaki berumur 5 tahun, comel, berlari-lari mendapatkan Syakir. Terus merebahkan diri dalam pelukan Syakir.
“Anak saudara pakcik nak apa dengan Abah dia ni?” Farid menggeletek. Anak itu tertawa.
“Mukmin cari Abang Mujahid sebenarnya. Kenapa tak nampak dia?” Dia bersuara comel.
“Ah, Abang Mujahid ada di sana.” Syakir menunjuk ke arah batu karang besar yang terdapat pada hujung tunjukannya.
Kelihatan seorang anak lelaki, berumur 7 tahun, bersila dengan tenang sambil menghadap laut, dengan Al-Quran di tangannya. Mujahid Muntasir, itulah namanya.
“Mukmin perlahan-lahan ya pergi pada Abang Mujahid.” Syakir mengucup ubun-ubun Mukmin. Mukmin Muntasir nama penuhnya.
“Em.” Mukmin terus berlari-lari anak ke arah Mujahid.
Farid dan Syakir sama-sama memandang ke arah anak itu berlari.
“Mujahid sedang ulang hafalankah?”
“Mungkin. Bayangkan, pada umur 3 tahun sudah fasih membaca Al-Quran, saat anak-anak lain pelat untuk berbahasa melayu. Umur 5 tahun sudah menghafal 5 juzu’ Al-Quran, dan sekarang dia sudah hampir menghafal 30 juzu’.”
“Aku tahu. Dia juga nampak amat matang. 7 tahun, tapi macam remaja belasan tahun.”
“Genetik ibu dia agaknya.” Syakir tersengih. Teringat Anum Sakeena.
“Naa, tarbiyah sebenarnya. Kau pun cerita, macam mana Anum masa mengandung. Penuh penjagaan, penuh pengisian. Makanan dijaga, ibadah dipertingkat. Itu semua memberikan kesan.” Farid sekadar tersenyum.
“InsyaAllah, Mujahid ini pasti akan membesar menjadi seorang yang hebat nanti.”
“Macam Abah dia.” Farid menyiku Syakir. Syakir sekadar tertawa. Siapa tidak kenal Dr Syakir Muntasir hari ini di Malaysia? Antara orang terkenal yang memberikan motivasi kehidupan kepada masyarakat melalui pelbagai medium. Radio, televisyen, internet. Juga mempunyai Syarikat Consultancy Sakeena, yang giat memberikan motivasi kepada pelajar-pelajar sekolah dan universiti, juga keluarga-keluarga.
“Abang-abang sekalian, makanannya dah siap!” Satu suara lembut melaung.
Syakir dan Farid sama-sama menoleh ke arah suara itu.
Kelihatan Amalina, isteri Farid melambai. Di sisinya terdapat seorang anak lelaki. Anak itu bernama Hasyim Mursyidi. Berumur 4 tahun. Anak itu berdiri antara ibunya, Amalina, dan seorang lagi perempuan.
“Bidadari dah panggil, jom!” Bahu Syakir ditepuk. Mereka bingkas bangun.
Syakir dan Farid berjalan mendapatkan tiga manusia itu. Farid terus berpimpinan tangan dengan Amalina dan Hasyim. Manakala Syakir terus memaut pinggang perempuan yang lagi satu, sambil tersenyum senang.
“Mana Mujahid dengan Mukmin?”
“Itu. Kita kena pergi ambil mereka dulu. Jom?” Syakir menunjuk.
“Jom.”
“Gelaran Aisyah RH adalah Humaira’. Dan dia pernah lumba lari dengan Rasulullah SAW. Dare to race with me o Humaira’ Arisha?”
Terus Humaira’ Arisha berlari.
“Game on Syakir Muntasir!” Humaira’ melambai tangan.
“Tak aci!” Syakir menjelir lidah, dan terus berlari mendapatkan Humaira’.
Nyata, selepas apa yang berlaku kepada Anum Sakeena, Humaira’ menunggunya. Bahkan tersentuh dengan Anum Sakeena, Humaira’ berhajat mencontohi perempuan itu. Yang telah berjaya melepasi sempadan cinta biasa.
Menjadikan cintanya cinta yang tertinggi dari segala manusia.
Syakir Muntasir tersenyum sendiri.
“Aku bersyukur dengan lompatan yang mengubah hidupku itu Ya Rabb.”
Lepaskan segala-gala, percayakan Dia!

http://langitilahi.com/2997/cerpen-yang-tertinggi-cintanya/#more-2997

Monday, June 27, 2011

Cerita ceriti LSP

Salam semsta alam buat semua warga semesta yang dirahmati Allah…

Alhamdulillah..buat warga tempat ana belajar, mesti korang semua dah tak sabar sangat-sangat kan nak balik kampung masing-masing. Dari Perlis ke Johor, Sarawak dan lastly Sabah, jelas terpampang wajah-wajah keriangan ayah bonda menanti kepulangan anak-anak ke rumah. Biarpun rindu hanya terubat sekurang-kurang ada juga ubatnya.

Ana pun nak balik..hehe..maklumla, waktu usia masih muda ni la nak bermanja-manja dengan mak ayah, dengan adik-beradik dan pasti yang utama dengan anak-anak buah. Semestinya. Tapi memang. Kalu kita inginkan bahagia itu, kepahitan tak lain tak bukan merupakan syarat wajib lagi pasti dirasai. Mana tak nya. Sepanjang 2 bulan short sem ini, memang penuh dugaan. Tapi sekurang-kurangnya dugaan itu berhikmah dan mengandungi secuit ibrah yang dapat diambil.

Ana ingin berkongsi. Bukan berniat untuk menujukan kepada sesiapa tapi ini hakikat mengapa hidup ini teruji.
Bila dalam kelas, semestinya tengah seronok dengan sahabat-sahabat yang pelbagai gelagat. Ada yang pendiam, ada yang penggegak-gempita kelas, ada yang…macam-macamlah..konklusinya semua happy go terus ke lucky. Terrlalu…tapi memang, dalam lucky tu mesti ada unlucky nye..dalam kelas boleh bising, keluar kelas terus nangis. Mengapa? Sambung masalah yang tergendala akibat terlalu happy bila masuk kelas.
Apa yang ana cuba sampaikan, kita memang gembira, suka, gelak-gelak dengan kawan-kawan, tapi di suatu sudut yang lain, kita sebenarnya bermasalah besar. Sebab kita kurang mencombinekan peluang untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Contohnya, bila tiba time kita happy, kita terus-terusan gelak, tapi bila habis time gelak, kita menangis sepuasnya-puasnya sedangkan kita boleh menangis dalam keadaan kita happy itu dan kita boleh tersenyum dalam menghadapi masalah itu. Bukankah itu lebih baik. Mampu tersenyum di saat kesusahan dan mampu merasai keperitan bila kita dalam keadaan senang.

Kembali kepada cerita kelas kursus ana ini. Sebenarnya ana masih baru kenal diorang semasa awal start program ni. Maksudnya belum sampai 2 bulan pun. Maklumla, nama ana pun dah hampir penghujung abjad. So, tercampaklah sedikit diluar kawasan. Alhamdulillah, tak terlalu kekok dengan diorang kerana sahabat baik pun tergolong satu kursus dengan diorang. Alhamdulillah. Boleh sesuaikan diri. Dah macam lama bertahun kenal. Moga-moga ianya ukhuwah yang diredhai.

Mulalah kerja-kerja yang diamanahkan untuk kursus ini. Kalau setakat assignment tu insyaAllah, buku-buku rujuakan dah tersengih. Tapi betapa specialnya kursus bahasa yang terakhir ni, maka diamanahkanlah untuk menyiapkan sebuah movie. Folklore dan folktale la kononnya. Tapi dimodenkan. Seronok dan cuak bercampur. Maka munculla pelakon-pelakon yang tak ber prestij dan tanpa diundang memenuhi setiap pelosok tempat yang ada. Ada yang shoot tepi jalan, tepi longkang, tepi tasik yang tak nampak rupa tasik dan macam-macam gelagat lagi. Pantang pergi jalan-jalan, aik, sorry-sorry, orang tengah shooting. Tungkus lumus. Bagus-bagus. Semangat tinggi.

Group kitorang pun tak lebih dan tak kurangnya, plan sampai kene shoot tepi pantai. Maka berjalanlah si kaki jalan ini ke tempat dambaan hatinya. Ditepi pantai yang menggoda jiwa. Yang tenangkan jiwa. Yang mengingatkan betapa Allah itu menciptakan segalanya bersebab. Ada hamba yang tenang bila melihatkan pokok-pokok. Tapi hamba ini tertaut dengan laut. Apa nak buat. Sebabnya, kita akan merasakan sesuatu itu berharga hanya apabila ianya sudah tiada.

Ya. Tenang di tepian pantai. Tapi cukup terkilan. Bila ada yang minta dijamakkan solat sedangkan tempat ini bukanlah jauh sangat pun. Sebabnya, nanti terganggu time nak shooting bila terpaksa stop untuk solat. Emmmmmm…takpela. Mungkin diorang terlalu inginkan segalanya berjalan tanpa gangguan atau nak kejar masa.

Tapi satu yang ingin ditegaskan. Solat tetap solat dan dengan solatla kerja-kerja kita jadi ok dan dengan solatlah kita minta bantuan Allah untuk permudahkan segala urusan. Solat tempat kita meminta. Tempat kita mengadu. Tempat segala-galanya. Walaupun kehujung dunia, ke kutub mana sekalipun, tempat yang mesti lagi wajib kita kunjung adalah ke bumi. Ke tikar sejadah. Ke tempat sujud. Siapalah kita jika kita rasai semuanya kerana usaha kita sahaja. Sudah pasti perasaan begitu akhirnya membawa kita kepada ketiakpuasan hati. Tak cukup segalanya. Sebab kita memang difitrahkan dengan perasaan tak cukup. Walaupun bergunung-gunung emas yang kita ada. Tapi memang fitrah manusia ini akan rasa tak cukup. Sebab Allah tarbiahkan kita dengan rasa bersyukur.

….kami terus siapkan kerja-kerja dan Alhamdulillah,
setelah segan-segan berlakon depan pengunjung-pengujung , dengan ada adegan silat- menyilat siap dengan lanun-lanun yang datang entah dari dalam air ke, dalam paya ke,maka berakhirlah kunjungan mahabbah dan kunjungan rindu ke pantai nan indah dan teramat indah. Sebelum azan maghrib bergema ke seluruh alam dunia, kami bersiap-siap untuk pulang tapi memandangkan ada permintaan salah seorang sahabat untuk singgah sebentar, kami berpakat untuk kenal rumah sahabat itu. Lepas solat manghrib dengan ada lagi suara-suara yang mintak-mintak nak jamakkan solat tu, kami bertolak ke rumah sahabat yang pada awalnya dikatakan setengah jam menjadi hampir satu jam setengah.

Ana pasti. Cukup pasti. Bukan silapnya. Tapi silap semua. Solat diketepikan. Azan isya dilaungkan sebaik sahaja enjin kereta dihidupkan. Apa yang sepatutnya tak terjadi memang dah terjadi. Allah ibrahkan lagi kami agar dahulukan solat ‘ala kulli hal. Setiap hal. Setiap saat hal itu, mahal lagi setiap saat kita merasai bahawa kita adalah hamba. Ibrah bagi yang berfikir. Masalah bagi yang ber amarah.

Maka tanpa berlengah, kami segerakan solat sebaik sahaja tiba di rumah sahabat tersebut. Biarlah. Walaupun perut dah berbunyi dan mengaji, fresh oren di depan mata. Bihun sebesen( sebab kitorang ramai macam rombongan walimah), tv sebesar-besar yang mata mahu tengok, tapi Alhamdulillah, sesetengah insan yang sedar, berebut tandas untuk berwuduk. Alhamdulillah. Bukan tak ada. Tapi segelintir pun tetap ada. Maka ketika inilah terserlah sifat setiap insan. Moga Allah merahmati sahabat-sahabat semua. Moga Allah sentiasa menyatukan kita dengan keindahan saat bersamaNya.

Hampir tengah malam barulah kami bertolak dari rumah sahabat itu. Bukan sengaja melewat-lewatkan. Oleh kerana jumlah kami agak ramai, jadi, ambil masa sedikit untuk semua siap-siap. Sambil beri masa untuk para driver berehat sebelum teruskan perjalanan pulang ke kediaman masing-masing.

Di tengah perjalanan, bagi yang sabar dan redha, pastinya ‘subhanallah’..Allah sayang kita…bagi lain selain dari itu. ‘ish..apa la pulak ni..&(*^%^%$&^&$’..macam-macam..alhamdulillah..tak kedengaran suara macam tu..salah sebuah kereta rosak..dalam hutan..tepi jalan jalan sangat takder orang yang sudi lalu lalang..Alhamdulillah..habis di check, di scan, di test,..tak rosak pun..sengaja merajuk..hihi..(ada ke kereta merajuk)

Alhamdulillah..kali ni ambil langkah berjaga-jaga, jangan biarkan satu pun group kita hilang dari pandangan cermin sisi..dan paling penting, guna highway..tutup GPS masing-masing, dah takda jalan kampung dah..
Perjalanan berterusan lagi. Stop sebentar dekat R&R yang ternampak. Rehat sekejap. Driver keletihan terutamanya yang bermotor. Ya Allah, ingin je ana gantikan bawak motor tu sambil bagi mereka rehat kejap. Pastinya cukup penat la lenguh kaki. Tapi apakan daya memang tak mampu dan tak boleh buat macam tu. Dengan bas yang macam jet roket nak pergi angkasa, dengan mat-mat rempit yang rempit-rempit sopan, yang kereta macam jalan itu aku yang punya, huh..macam first time masuk highway..

Alhamdulillah..kereta tadi dah tak merajuk,Cuma kadang-kadang kene pujuk jugak. Kami teruskan lagi dengan harapan cepat-cepatla sampai, hampir semua tidur keletihan, tiba-tiba dapat berita salah satu motor rosak di tengah highway tu. Allahuakbar..dugaan lagi..stop lagi dekat  R&R berdekatan dan bahasa lainnya, R&R terakhir sebelum sampai. Takut, bimbang, risau, dan segala-galanya bila dapat tahu keadaan sahabat tersebut.

Ana keluar dari kenderaan dan kononnya buat konklusi semua apa yang terjadi. Kata salah seorang sahabat, “Allah nak uji kita ni. Tak pe. Allah nak scan je. Kita sabar ke tak ni”. Kata lagi sorang, “yup, betul, betul, betul, Allah nak test. Baru sikit. Sabar yer. Satu lagi, Allah nak bagi kita nampak. Kita ni sahabat ke, atau just sekada kenalan je”…terfikir….

Kalaulah Allah takdirkan perjalanan ni tenang je, balik mesti tengah rehat semua. Dengan hepy ending. Tak de nilai perjalanan hari ni. Takde pape pengalaman baru. Tak de semua yang Allah nak bagi. Emm…syukur itu penting. Sabar itu begitu dan teramat amat indah. Dan..ukhuwah itu tercampak dalam hati.

Terfikir sambil menanti. Subhanallah. Indahnya ukhuwah itu. Sahabat yang rosak motornya akhirnya sampai bersama seorang lagi sahabat yang juga bermotor, diletakkan kakinya pada motor sahabat yang rosak motornya itu. Lenguh. Tak cakap pun rasa itu ada. Terharu. Sedangkan mereka berdua sebelum ini bukanlah kenalan rapat. Dari kelas yang berbeza. Subhanallah. Rupanya Allah nak tunjukkan mereka SAHABAT.
Pada waktu yang sama, salah satu kereta antara kami terpaksa pulang dahulu tanpa menunggu yang motornya rosak sampai kerana salah seorang daripada kami sakit, salah seorang demam dan seorang lagi mengejar masa untuk berehat sebab keesokan paginya ada latihan olahraga. Sebaik sahaja hampir setengah jam mereka bertolak pulang, kami dapat panggilan bahawa mereka ditahan polis. Ya Allah. Allah sayang lagi. Alhamdulillah. Polis just tahan je. And lepas tanpa ada pape. Main-main je kot. Tak de sape yang nak ditahan, so tahanla budak-budak ni. Mungkin polis pun faham yang diorang letih dan tahan kejap bagi diorang rehat.hihi.( husnu dzon). Alhamdulillah. Mereka selamat sampai.

Kami di sini…tengah bincang bagaimana nak bawa balik sahabat dan motornya itu. Kami discuss. Kami bincang. Kami mesyuarat. Hah. Satu lagi konklusi. Sape yang tak smayang lagi? Alhamdulillah. Semua ok. insyaAllah. Akhirnya satu keputusan dikeluarkan…….

Di tengah jalan, mereka bergerak bersama mat rempit. Tapi dari jauh kami cam. Mereka merempit cara ukhuwah. Tiga motor. Satu rosak. Satu tolak dengan kaki motor yang rosak itu. Satu rehat. Sape lenguh, tukar orang, tolak motor. Dia lenguh. Tukar kau. Aku lenguh. Meh aku plak. Kau lenguh tak. Tak. Meh aku plak. Sampai berkilo-kilometer. Sampai rumah. Mereka senyum. Mereka gembira. Sebab ada sahabat yang bukan sekadar kawan atau kenalan.

Kami..sampai dengan selamat. Alhamdulillah. Walaupun waktu sampai itu buat semua orang bengang. Tapi kami gembira. Bersyukur. Kami belajar. Kami ada pengalaman. Kami sahabat.

Alhamdulillah..semuanya dah berakhir. Kami tunggu final je yang belum berakhir. Tapi pengalaman itu insyaAllah. Sentiasa segar lagi bugar dalam hati. Andai lupa pun, sekurang-kurangnya ana rekod dalam blog ni.

Masalah itu biasa. Tapi kebiasaan penyelesaian itu luarbiasa. Yang pasti hikmah itu lagilah gempak luarbiasanya. Maha Hebat Allah memberikan kegembiraan melalui kedukaan yang semetara. Bukan menduga dengan kegembiraan yang sementara dengan nilai kedukaan yang selamanya. Nauzubillah min zalik.

Akhir kata dan cerita, kita belajar dari pengalaman semalam. Kita cuba praktikkan pada kejadian hari ini dan kita usaha memperelokkan hari esok agar hari ini dan esok adalah pelajaran dari apa yang berlaku semalam.

Salam keikhlasan hati. Kerana aku sahabatmu.

‘kalau senang kita boleh gelak bersama, cubalah susah seorang kita menangis bersama’
Khas buat sahabat se LSP III ‘11.

Saksimalam. Kerana aku hamba.

Sunday, May 22, 2011

Alhamdulillah

setelah sekian lama tak update blog ni..ada jgak peluang meninjau-ninjau walaupun dari jauh...
walaupun sepi, bukan itu yang dirisaukan kerana inilah satu-satunya medan yang menjadi tempat untuk mencurahkan apa yang terbuku di hati, berputar difikiran dan sebagainya...

perkara pertama yang menjadi kegalauan di hati, sedih...itulah yang dirasakan walaupun ana bukanlah berada di tempat realiti kejadian..takziah diucapkan buat warga rumah anak-anak yatim di Ulu Langat atas dugaan Allah. semoga Allah merahmati mereka yang kembali kerahmatullah akibat kejadian tanah runtuh yang sama sekali tak pernah dijangka oleh sesiapa pun..itulah yang dikatakan rahsia Allah..tak siapa tahu bilakah masanya akan berlaku..mungkin seterusnya masa kita pula...wallahua'alam...

ana sebenarnya sedang berfikir, mungkin Allah menyampaikan sesuatu kepada ana tanpa kita sedari..sebagai contoh seringkali seronok membaca artikel-artikel dalam blog sahabat-sahabat lain samada yang kenal atau tidak, ada je artikel yang ibarat apabila kita membacanya ada gunung jatuh terhempap atas kepala..sakit..tapi kembali bemuhasabah, aku kah itu??macam ni ke orang pandang aku??seburuk itukah??
tak mustahil benda-benda macam ni ada kaitan dengan kita..mungkin dengan jalan ini kita sedar dan kembali kepada jalan yang seharusnya diikuti, bukan sekadar terasa dan biarkan...teruskan untuk berubah dan mengubah umat menjadi yang terBaek di sisi ALLAH ta'ala...

semoga Allah redha

Sunday, December 26, 2010

kita penyeru...

salam kembali....

dah lama nmpaknya ana tak pedulikan blog ni. Bukan sengaja tetapi masa yang tidak berapa mengizinkannya di samping hal2 lain yang menjadi pghalang...tidak mengapa..apa yg pnting hari ini...

6 bulan berlalu..


bukan suatu masa yang pendek. pelbagai pengalaman yang diperoleh, pelbagai dugaan dihadapi. dari rasa "boring" mnunggu kputusan peperiksaan kluar sampaila 1 sem sudah ber'hidup' di kampus. tapi ada benda yang masih xbrubah..matlamat..yer..matlamat untuk membawa misi dakwah..memang kadang2 rasa jauh dan hampir2 nak jatuh,tapi menyedari hakikat bhawa hidup ini tidak pernah keseorangan bersama sahabat2 tercinta..jatuh bangkit bersama. saling bergantung..

tapi dari hari ke hari makin kuat persoalan yang menerpa...mengapa mereka buat begitu? tak takut ke? tak tahu ke?inila dikatakan resam kehidupan si penyeru. kerja menyeru, bercakap(in progress), berqudwah(sedang mencuba) tapi tetap xmen jadi..apa ni???

duhai sahabat..memang kita penyeru..hanya menyeru untuk mentarbiah dan diseru unuk ditarbiah..bukan senang..tapi tetap mahu melakukannya..kerana apa? kerana redha ALLAH..kerana inginkan kehidupan yang tenang..tenang dalam ujian,tenang dalam sindiran, tenang dalam kejian..itu yang di inginkan..hidayah milik ALLAH..DIA tak akan lihat hasilnya apa..tapi usaha tu perlu ada...

usaha kita..memang sedikit.hasil xmenjadi..adakah itu namanya penyeru??sedikit tetap ada..ALLAH itu maha teliti. setiap amalan akan dikira. tapi adakah kita hidup hanya bergantung kepada yang sedikit itu sahaja..adakah kita hidup hanya bergantung pada secawan air sahaja? tidak bukan? kita tidak ber'hidup' dengan itu..tapi ia menjadi motivasi untuk kita rasa selesa, rasa mahu lagi dan lagi..rasa dahagakan ilmu dan kenikmatan untuk menyampaikan..ya..kerana itula yang sedikit perlu dikira..agar menjadi punca semangat untuk menjadi banyak tanpa futur...

apa yang dapat....

ramai yang tanya..dalam berjuang kita dapat apa??duit?kereta?keputusan peperiksaan yang cemerlang?..tak jamin..habis dapat apa..bukan ke merugikan...tidak sesekali..tak rugi..sebab kita masih lagi hidup..hidup dalam ketenangan..dalam keadaan ALLAH menerima kita, ALLAH redha (insyaALLAH)..itu yang penting..iman ada,sahabat ada,mak ayah ada, keluarga ada..cukupla untuk bahagia tak bertepi..harta yang banyak, result yang gempak..semua tu sampingan..bukan tak perlu..tapi kalau dapat, ia satu bonus dari Allah..mungkin sebagai hadiah, mungkin juga satu ujian.....

la tahzan, innaLLaha ma'na...ALLAH  forever we thank you

Friday, July 23, 2010

salam juang

Assalamualaikum w.b.t..


Selamat berjuang buat sahabiah-sahabiah tak kira dimana pun kalian berada kerana kasih dan ujian ALLAH tidak pernah mengambil kira siapa,di mana dan bila masanya tetapi tahap keimanan itu yang di ambil kira..

Pilu hati ini melalui detik-detik kita mengikuti haluan masing-masing.Berbeza lokasi pengajian,daerah mahupun negeri hatta negara sekalipun,ingatan ana terhadap kalian tidak pernah pudar walaupun ana akui terkadang hati ini terlalu leka dengan arus kehidupan. Namun itu hakikat seorang insan yang mempunyai kelemahan. Yang sentiasa terlupa. Tetapi kehadiran sahabat pelengkap perjuangan ini..rasa syukur kepada Rabbul Izzati menyelinap dalam hati dengan kehadiran sahabat yang sudi menegur tatkala terleka atau tersalah. Berkongsi mensyukuri kegembiraan nikmat ILLAHI. Bersatu hati dalam menegakkan kebenaran..

Tidak dinafikan dugaan datang tanpa dipinta. Namun bukan kuasa kita untuk menghalangnya. Tugas hamba hanya berusaha, berdoa dan bertawakal. Ketentuan datang daripada ALLAH. Tentu ada sebab dan hikmat yang tersembunyi daripada sumber yang tidak disangka-sangka.

Buat sahabiah-sahabiah,kekalkan hati kalian dalam medan tarbawi ini.

Sahabiah-sahabiah MATM....[1A,2A n 3A (04-06) n jgak 6r1 09’]


Kalian selamanya sahabat ana..walaupun kadang-kadang berbeza pendapat,namun masih di bawah bumbung fikrah yang sama.ketahuilah..hanya rahmat ALLAH penentu segala dan sama-samalah kita mengejar rahmat ALLAH melalui kema’rufan dan cuba sedaya upaya manjauhi kemungkaran..kesusahan dan keletihan hanya sementara.suka-duka memori kita bersama, semoga berlalu dengan aliran keberkatanNya..

Sahabiah-sahabiah MMPM...


Kenangan perjuangan kita masih tersemat dalam ingatan ana.terasa manis walau ada yang pahit, terasa terubat walau ada kepedihan yang terselit.mengajar ana bahawa hidup sendirian tidak kan pernah sama dengan hidup dalam berukhuwah dan berjemaah.membuat ana rasa sepi jika kalian tiada di sisi. Namun Dia tidak pernah menyepi..bangkit semula jika rebah, berlapang dada tatkala susah...

Ukhti2 yang dikenali tanpa dicari..


Kalian anugerah ALLAH yang tidak pernah disangka..kadang-kadang terfikir, ramai lagi ukhti2 luar sana yang hebat tapi antunna tetap terhebat bagi ana kerana antunna hadir depan ana.membawa risalah perjuangan Baginda s.a.w.,para sahabat dan serikandi Islam...biarpun jauh tidak terbanding, keteguhan sirah yang disampaikan memberikan ana ilmu baru dan teruja dengan ilmu ALLAH yang begitu wasi’ tidak terkira..

Adik-adikku yang kian membesar dengan acuan Islam...


Teruskan pengembaraan kalian dalam pencarian jawapan yang hakiki.kak tidaklah mampu untuk itu.tapi kak akan cuba sedaya upaya meningkatkan ilmu.seperti yang kita ketahui, ilmu ALLAH itu terlalu luas untuk dikuasai, namun kita kan terus cuba menerokai mencari hakikat syariatNya...

Ana bukanlah seorang genius yang cepat belajar dari sesuatu. Namun ana insan yang lemah yang sedang mencari sesuatu disebalik tabir kehidupan. Sekadar akal termampu...sekadar luahan hati merindui apa yang perlu dirindui...ALLAH..everything is belong to you...