Thursday, August 2, 2012

Kosong~~


Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuhu

Ramadhan menjelma lagi. Membawa seribu rahmat dan maghfirah untuk ditaburi di langit bumi ini. Jadi, sesiapa sahaja mampu mendapatkannya dan sesiapa sahaja boleh melepaskannya. So, apa lagi, kutip jangan tak kutip. Tak kan kita hanya memandang butiran emas, mutiara yang bertaburan di depan mata. Malah ianya lebih berharga dari emas permata malah lebih berharga dari apa yang ada di dunia ini.(lebih-lebih la pulak).

Agak lama mengosongkan diri dari mencalit sedikit dakwat di blog ini. Kosong kekontangan. Hanya mampu tersengih membelek-belek blog sahabat yang lain. Tersenyum lagi. mengimbau sesuatu yang agak gempak. Biarlah ia menjadi simpanan dan menjadi azimat buat hati yang dahagakan kasih-sayang dari Tuhannya. Dan seperti yang dipinta, peristiwa itu membuktikan kasih-sayang seorang abid kepada Tuhannya dan kasih-sayang Tuhan kepada sang hamba. Alangkah bahagianya!

Ramadhan kali ini kurasakan agak suram. Entah kenapa. Tetapi ku tetap usaha agar ianya dimeriahkan dengan muzik-muzik al-Quran, gula-gula zikrullah dan senaman Qiamullail. Ya usaha. Maksudnya ia masih lagi dalam proses dan perlu penambahbaikan samada sudut disiplin atau penghayatan itu sendiri.Ramadhan kali ini mungkin juga lebih riuh dari biasa, apa tak riuhnya,paling kurang ahli sewaktu berbuka 6 orang. Puncanya, semua balik ke rumah masing-masing. Dan paling ramai, entah.huhu. riuh pada fizikal semata. Moga tak suram pada rohaninya.

Fikiran agak serabut. Memikirkan kerja-kerja yang bakal ‘dihadiahkan’ dan mengenangkan credit ilmu yang kian cetek ini. Pernah ditanya, apa itu masyarakat Rohingya di Nyammar??dengan muka selambanya ku jawab tak tahu. Adeh. Memang parah. Dalam hati. ‘yela.dah aku tak tahu jawabla tak tahu. dengar pun tak pernah. Pekebende Rohingya tu?apa terjadi?UFO terhempas kah?ke jumpa kolam air soya kat sana?owh, orang baru merdeka eh?entah’. Adui. Sesek kepala memikirkan betapa ilmu dan keadaan sekeliling kita itu teramat-amat penting. Bukan kerana markah. Bukan kerana nak tunjuk hebat, tapi nak tunjuk Allah itu Maha Hebat, menguji sesiapa sahaja, untuk menunjukkan kasih-sayangNya, dan kasih-sayang antara hambaNya sesama mereka. Di sinilah kita, mencetak segala apa yang ada di dada, untuk dihebahkan pada ummat.

Sejenak tersedar. Apa itu isu masyarakat Rohingya di Nyammar? Baru ku tahu serba sedikit. Rakyatnya merana. Ada dibunuh. Ada disembelih mungkin dan seribu satu kekejaman yang dilakukan oleh pihak yang tidak tahu cara untuk bertanggungjawab, malah dengan rakusnya meratah-ratah kesenangan hak orang lain demi kepentingan tersendiri. Allah. Betapa kerdilnya diri ini, terasa bersalah mengabaikan perihal saudara di negara lain. Alasan, tak sempat nak baca surat khabar sebab exam dah dekat dan macam-macam lagi alasan yang tercipta sendiri ataupun memang merancang untuk cipta. Begitulah kasih-sayang Allah. Hanya yang terpilih sahaja yang mampu menikmatinya. Dan nikmatnya itu hanya dirasai oleh orang-orang yang diujiNya.

Hidup ini adalah ujian. Samada senang atau susah. Sebab itu sesetengah orang berkata, ujian susah itu lebih baik dari ujian kesenangan, sebab, bila kita susah, sudah tentu kita akan ingat dan cari serta meminta padaNya sedangka bila kita senang biasanya kita hidup selesa. Peluang untuk lalai terbuka luas. Riak takabbur mula menular dalam urat-urat menuju ke hati. Rasa bertuhan mula hilang. Yang nampak hanya dunia dan kesenangan yang dimiliki. Menjelaskan bahawa hakikat ujian kesenangan adalah lebih susah dari ujian kesusahan.

Bercakap tentang kasih-sayang. Teringat pada seorang sahabat. Bagiku, dia insan yang cukup hebat. Dibesarkan dalam keluarga yang mempunyai latar belakang yang baik. Fikrahnya jernih. Hatinya suci. Berada bersamanya cukup kurasa damai. Tapi kuanggap dia seperti yang lain. Mesra orangnya. Berdua dengannya bagai duduk berlima. Ada-ada saja yang dikeluarkannya. Mengumpat jarang ada padanya melainkan ada hal yang harus dibincangkan. Pembetulan. Bukan dia. Tapi mereka. Mereka sering buatkan hatiku tenang. Sentiasa muhasabah. Kembali pada Rabb. Kata Rasul s.a.w, sahabat yang baik itu adalah apabila kamu melihatnya kamu mengingati Allah’.

Salah seorang daripadanya, si kisah syurga (jangan marah na), pernah bertanya soalan yang jarang orang tanya ‘awak sayang saya tak?’, teragak-agak aku untuk menjawabnya. Bukan kerana ragu-ragu sayang atau tak, tapi aku malu. Malu kerana merasakan tidak layak untuk menjadi sahabatnya. Dan seorang lagi, si para syahid, memanggil ku bertujuan untuk berbisik. Dipegangnya tangan ku dan berdiri dekat di telinga ku, dengan jelas aku dengar apa yang dikatakannya, ‘saya sayang awak’. Allah, terima kasih atas segalanya dan aku tidak akan lupakan itu.

*tulisan yang mungkin entah apa-apa dan tapi mungkin ‘mereka’ itu memahaminya. Alhamdulillah ya Allah ~melahirkan kesyukuran itu memang susah tapi ianya indah..=)

Tuesday, April 17, 2012

Untuk Yang Bernama Sahabat - credit to mYsahabat

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuhu…

Alhamdulillah, setinggi pujian dipanjatkan kepada yang layak, Allah satu-satunya kerana dengan inayah, rahmat dan peluang yang diberikan pada hamba-hamba yang Dia kehendaki untuk merasai secebis nikmat yang tidak terbanding, nikmat Iman dan juga nikmat Islam. Moga bayu Iman dan Islam ini dapat dihirup buat bekalan di dunia,sebagai tambak dari ombak jahiliyah yang kian bergelombang setiap hari. Kata Tok Guru, “asas Islam ialah dua perkara, tak boleh satu. Yang pertama iman, yang kedua Islam. Agama kita mengajar iman campur Islam baru jadi agama, sebagaimana 1+1 jadi 2. Begitu juga dengan agama, campur iman dengan Islam. Orang yang beriman sahaja tapi tidak Islam, tidak berlaku di muka dunia dan orang yang Islam sahaja tetapi tidak beriman, tentu akan jadi munafik”

Alhamdulillah juga kerana diberi peluang untuk menulis seperca tulisan yang entah apa-apa tapi yang pasti mengandungi sedikit kata-kata harapan buat sahabat-sahabat sekalian. Ana menulis atas permintaan seorang sahabat, tapi kepada sahabat tersebut, harap maaf kerana topik yang diamanahkan tidak dapat ana penuhi sebab tak mampu. Jadi ana gantikan dengan tulisan yang entah apa-apa ni=)

Sahabat-sahabat sekalian, hari demi hari, kita dengar, kita lihat dan kita perhatikan gelombang kebangkitan anak-anak muda. Tidak terkecuali juga antara sahabat-sahabat, ada yang terlibat secara langsung atau terlibat dibelakang tabir sebagai penyokong setia anak-anak muda hari ini. Mereka sudah tidak takut dengan ancaman-ancaman yang dikemukakan oleh pihak yang tertentu, tak terkecuali juga adik-adik kita di sekolah, sudah menunjukkan bakat yang mereka bakal menjejaki akhlak abang dan kakak mereka. Bagi yang berjiwa seorang pejuang, sudah tentu mereka gembira dengan perubahan pemikiran adik-adik yang kian kemas dengan isu-isu semasa tanpa mengira batasan umur. Dan bagi mereka yang inginkan suasana yang tenang tanpa sebarang ‘kekacauan’ akan menganggap itu adalah satu kelakuan yang tidak bermoral, sukakan perpecahan dan perbalahan. Biarlah apa orang nak kata, asal niat dan gerak hati kita kearah sesuatu yang diwarisi daripada mujahid-mujahid Islam.

Orang kata, bila belajar, jangan nak memandai-mandai melibatkan masalah orang dewasa, nanti pelajaran terbantut, result entah ke mana, balik rumah penat dan kerja-kerja berkaitan pelajaran tertangguh. Itu orang kata, tapi kita kata?? Tanya diri sendiri. Mungkin sahabat-sahabat sudah merasai pengalaman masing-masing sepanjang melibatkan diri dalam medan ini dan masing-masing sudah tahu apa jawapannya. Isu besar zaman persekolahan.

Sahabat-sahabat, kalau nak ikut orang kata, semua orang akan kata, yang penting kita. Orang kata itu arang pembakar semangat, yang penting ia pembakar keikhlasan kita sebenarnya. Sejauh mana keikhlasan kita, kita pun tak pasti kerana tiada kayu ukur yang mampu ukur setinggi mana keikhlasan setiap orang. Tapi ikhlas itu dapat dinilai, dirasa dan dinikmati. Kata ustaz, ikhlas kita, biar hingga lupa apa yang kita sumbangkan. Tapi bukan semua orang mampu. Sebab ikhlas itu dari hati, bukan dari perbuatan.

Ikhlas itu lahirnya dari hati, dan hati para mukhlisin hanya hadir bila mereka di sisi tuhannya. Itu kunci segala aspek akhlak. Taqarrub ilaLLah. Bila hati sudah hampir denganNya, tiada apa yang mustahil. Kita lihat sejarah para sahabat, betapa hati mereka dekat dengan Allah sehingga Allah mengurniakan karamah kepada para walinya yang dikehendaki. Seperti Abu Ala’ al-Hadrami yang diutuskan Abu Bakar ke Yaman, disebabkan keyakinan dan kebergantungan pada Allah yang begitu tinggi tanpa keraguan, beliau dan para tenteranya berjalan di atas air bersama kuda-kuda mereka. Sebagaimana Amirul Mukminin Umar al-Khattab yang mengarahkan para sahabat yang sedang kesusahan di Rom walaupun beliau sedang berkhutbah di Madinah, dan juga menghantar surat khas kepada sungai Nil untuk menghapuskan amalan- amalan jahiliyah. Ini kerana keyakinan mereka  pada Allah, Maha Kuasa segenap aspek kehidupan.

Bersihkanlah hati-hati kita sebelum kita turun ke medan masyarakat dengan amalan-amalan seharian kita melalui istiqamah. Sikit yang baik lebih baik daripada banyak yang lalai. Apa guna kalau kita laung-laungkan kata-kata yang gempak dan hebat luaran kalau ianya tidak masuk ke dalam hati-hati para pendengar. Biarlah apa yang kita sampaikan adalah perkara biasa, tapi ia menusuk ke dalam jiwa-jiwa daripada perkara yang pada zahirnya nampak konkrit pada perkataan, tapi hanya angin yang berlalu sementara sahaja. Kata Tuan Guru lagi, “ tapak kaki kalu dah keras, pijak paku dan duri pun tak terasa, apa sebab tumitnya dah keras. Tapi kalu tapak kaki yang lembut, terpijak duri sikit je terus sakit dan berdarah. Demikian juga hati, kalu ia dah keras, tak terasa lagi bersalah kalu buat dosa. Sebab itu jangan sampai hati kita keras sampai tak terasa bersalah untuk buat maksiat”

Sahabat-sahabat, apa yang dicoretkan di sini hanyalah ulangan daripada kata-kata sahabat sekalian, cuma imbasan kembali sebagai objek muhasabah buat diri sendiri. Lawanlah arus, jangan jebakkan diri kita ke dalam kelompok jahiliyah walaupun sekadar melukut di pinggiran, jangan biarkan hati-hati kita terbiasa dengan didikan mereka, kito pakat tra mujahadah biala slow-slow pun…salam istiqamah.

*asalnya untuk sahabat..tapi masih segan dengan 'benda' yang tak seberapa ni..=)moga Allah kuatkan rasa, untuk menjadi perkasa..nak ilmu tapi malu..apa guna..=)

Sunday, January 8, 2012

Kembali PadaNya

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh…

Salam seluruh semesta buat insan – insan yang merasa dirinya masih lagi seorang insan yakni “orang” yang diciptakan Allah. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah, jari ini bergerak lagi untuk menaip secuit kata – kata yang tidak ada makna tapi ada harapan ini. Harapan apa? Jawabnya ialah harapan agar ia ada makna.

Setelah berhari-hari dan berminggu-minggu ia dibiarkan sunyi dan sepi. Alhamdulillah. Nampaknya inilah lumrah hidup seorang yang ingin melaburkan dirinya untuk ber ‘blog’. Ada hari semangat untuk menulis yang mana idea melimpah-limpah dan juga ada ketika idea melimpah tapi tiada pergerakan dan tak kurangnya juga hari-hari yang tiada idea dan tiada pergerakan tangan dilakukan. Harapan saya hari ini, saya ingin tinggalkan satu post untuk disember 2011 sebelum diterjah dengan kejutan-kejutan 2012.

Entah apa yang ingin dicoret. Minda ini seolah-olah kosong, sepi tanpa sebarang bicara dan petanda untuk memberitahu. Tapi kadang-kadang ianya menjadi satu keinginan untuk memiliki ‘kosong’ itu. Sebab apa..serabut mungkin atau dalam term seorang pelajar, diistilahkan stress dan masa stress inilah macam-macam cara dilakukan oleh insan-insan diluar sana. Kalau kuat dalamannya, maka stress itu dihadapi dengan penuh tenang dan hikmah. Tapi bagi yang ‘kureng’ teguh dalamannya, perkara yang tidak mungkin pun akan berlaku.

Kembalilah PadaNya

Kemana kita pergi pun, kita akan kembali ke rumah. Umpama sang musafir, namanya musafir kerana dia akan mengembara dan dia tahu walaubagaimana cara sekalipun, walau lama mana sekalipu, sang musafir itu tahu, dia akan kembali ke tempat asalnya, melainkan nyawanya pergi sebelum dia sempat untuk kembali. Begitu juga denga hidup kita, asal kita dari Allah. Walau juah mana sekalipun kita lari daripadanya, kita tetap akan kembali kepadaNya. Semua akan kembali padaNya. Semua sama. Yang lainnya hanyalah bekal yang dibawa. Banyak bekalnya, senanglah hidupnya disana. Kurang bekalnya, sengsarala hidup di sana.

Dunia ini umpama wakaf. Tempat kita singgah untuk melepaskan lelah dan mengumpul tenaga untuk meneruskan perjalan. Kalau kita bermusafir di Malaysia ini, tempat berhentinya seperti R&R (Rehat dan Rawat)..nah, pengajaran bagi kita kan. Hikmah berjalan dan bermusafir. Begitu juga dengan kita. Dunia itu umpama R&R bagi destinasi kita. Kita hanya berhenti sementara untuk mengumpul bekalan, bimbang kelaparan dan keletihan nanti. Umpama bagi amalan kita. Untuk mengelakkan dari menjadi ‘bahan bakar’ di sana.

Bila mahu kembali??

Bila bercakap tentang kembali, bila kau mahu kembali?? Bila aku nak bertaubat ni?? Bila la nak jadi macam tu macam ni?? Dan pelbagai lagi soalan yang berlainan membawa maksud yang sama..sesetengah orang, bila ditanya dan menjawab, jawapannya tak jauh daripada persoalan hidayah tak sampai, bila rasa hidayah dah sampai, taufiq pula yang tidak ada untuk berusaha dan macam-macam lagi. saya sendiri pun mungkin tergolong dalam kalangan itu. Tapi, di sini mungkin ada jawapannya. Firman Allah s.w.t:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً وَلا يَسْتَقْدِمُونَ 

 Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.

(Al-A’raf 7:34)

Nah, ini jawapannya. Dengan bahasa yang lebih mudah, kembali lah pada saat kita teringatkanNya. Bila-bila masa. Dimana jua. Dan pastinya dengan bahasa yang lebih tepat, SEKARANG. Sebelum tiada lagi peluang untuk kembali itu.

Akhirnya

Di sini, saya sendiri atau sesiapa sahaja, selagi kita diberi nikmat Islam dan Iman yang sering kita sebut itu, kembalilah kepadaNya, dalam apa segala hal, walau sedetik, walau sesaat, letaklah Dia dihadapan untuk segala urusan. Kerana kita milikNya dan pastinya akan kembali padaNya. Tiada yang tak mungkin.

Saksimalam=)

Tuesday, November 15, 2011

Sekeping hati buat sahabat~credit to mYsahabiah=)

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuhu…

Alhamdulillah selamanya untuk Dia yang masih lagi memberi ruang untuk kita menikmati serba sedikit nikmat hidup ini walaupun dunia ini dikatakan ibarat sampah dan mainan semata-mata. Tetapi diri ini yang pelupa, dunialah tempat aku dicampak untuk menjadi hamba. Kerana di dunialah aku rasa nikmatnya hidup sebagai hamba. Dan dunia jugalah tempat untuk menghimpun sedikit-sebanyak amal sebagai bekal untuk bertemu dengannnya.

Memang, perit rasanya bila berada dalam dunia, tapi akibat daripada perit itulah aku kembali untuk menagih akhirat denganNya.

Sepi hidupku tanpaNya, tapi bila kesepian itu menyepi, aku pula yang sepikan Dia dari hidupku.
Satu hari, sahabiah ku ada menyatakan, kenapa hidup ini begitu banyak ujian. Mengapa segelintir manusia hanya perlukan kita ketika kita sedang senang dan gembira tetapi bila kita kesusahan dijenguknya pun tidak. Apa jenis kawan macam ni. Lalu ku fikir, ada ke kawan macam tu. Kalau ada, aku pun macam tu ke? Ku melintasi sedikit taujihat buatnya, kerana dia bukan kawan ku. Tapi di sahabatku. Aku sayangkannya kerana aku sayangkanNya. Aku cintanya kerana aku cintaNya. Sepenuh hidupku, ku cuba seupayaku untuk sandarkan segalanya pada Dia Yang Satu. Kerana hidupku tiada apa-apa jika tidak disandarkan padanya sebab sehingga saat ini, keranaNya aku hidup dan masih bertahan.

Sekeping hati buat sahabiah,

Sahabiahku sayang, aku tidak nafikan bahawa setiap orang akan ada saat-saat sebegini. Tapi siapa pun yang manyakiti hatimu, dia bukan bencikanmu, tapi kerana Allah sayangkanmu. Bedoalah sahabiah ku sayang. Mantapkan imanmu. Kita tidak akan mampu bersendirian tanpa sahabat di sisi. Dia juga sahabatmu, tapi ingat, ramaikan sahabatmu, biar kita dibuang orang asal jangan kita yang buat orang, biar kita disisih orang, tapi jangan sisihkan kasihnya dan kasihNya. Ingat, apa pun orang pada kita, kita tetap hamba yang hina padanya.

Sahabiahku sayang, sekejam mana pun dunia ini padamu, itu tanda kasihNya. Kalaupun setiap manusia yang kau kenal sedang membuangmu, aku ini tetap ada dihatimu. Jangan bimbang selagi nama Islam itu ada padamu, jangan bimbang selagi Allah itu tuhanmu. Yakinlah padanya. Kau hanya perlukan sepotong sabar saja. Jangan bimbang. Ikhlaskan dirimu dalam setiap amalmu. Yakinlah bahawa Dia itu sangat sayangkanmu. Kamu tidak perlukan kasih yang tidak halal untuk mendengar luahanmu, kerana yang halal yang Dia sediakan lebih luas kasihnya.

Ikhlas buat sahabiah tersayang~sapa-sapa je..

Sepi itu pengubat jiwa

Assalamualaikum wbt…salam seusia kehidupan di dunia..alhamdulillah, bersyukur  kepada Dia yang memberikan nafas penuh makna seerti makna kehidupan kita sehari-hari di muka bumi yang fana tapi diberikan padanya keindahan dan godaan pada jiwa-jiwa yang lara…

Alhamdulillah lagi atas segalanya yang ada yang tak mampu dilafazkan dengan kata-kata semata. Moga ucapan Alhamdulillah kita lahirnya bukan hanya zahir dibibir, tapi lahir bersama hati yang dituntut ikhlasnya…
Bicara kali ini fokus kepada sepi.. mengapa sepi? Sebab saya suka menyepi. Tapi belum tentu suka di’sepi’kan. Ya, kadang-kadang kita sepi sendirian. Samada kita yang menyepikan  diri atau orang yang menyepikan diri dari kita. Sepi itu banyak makna. Mungkin juga sepi itu untuk kebaikan. Seperti menyepikan diri untuk mencari ketenangan atau sepi dari manusia untuk bersamaNya. Itu juga sepi. Tapi sepi itu sepi fizikal. Jangan kita sepi jiwa. Sepi dari rahmatNya jauh sekali. Ya Allah, biarpun aku sepi dari manusia, jangan Kau biarkanku sepi dari naungan kasih sayang dan redhaMu.ameen..

Sepi itu indah…

Mengapa saya kata ia indah?..ya, sepi memang indah. Maksudnya, sepi dari manusia kadang-kadang memang indah. Sebab potensi untuk wujudnya dosa agak berkurang berbanding selalu bersama manusia sepanjang masa. Tapi, kalau sepi dari rahmatNya itu sudah menjadi sesuatu yang tidak didambakan. Seperti kata-kata dalam sebuah lagu, ‘ biar sendiri hingga hujung nyawa, asal tak sepi dari kasihNya’. Nah, ternyata begitu juga dengan semua orang. Sepi dari manusia itu biasa. Tapi sepi dari kasihNya, nauzubillah min zalik. Moga kita semua di bawah perlindunganNya.

Pernah saya merasakan kesepian. Rasa sepi dari kasihNya, rasa jauh yang tidak boleh dinyatakan dengan kelakuan zahir. Entah mengapa perasaan sebegitu wujud. Mungkin Dia ingin menguji kita untuk kembali padaNya. Rasa yang seolah-olah Dia tidak mendengar apa yang kita minta. Allahuakbar.

Saya ada sesuatu yang dipinta. Seperti apa yang semua orang pinta. Hari demi hari saya minta apa yang dihajatkan itu. Mungkin Dia ingin menguji. Bukan doa saya ditolak. Ditangguh, mungkin. Tiada apa yang saya mampu lakukan selain berdoa semampu yang mungkin. Teringatkan harapan mak dan ayah yang menggunung. Apa lagi melihat pengharapan adik-beradik yang sukar untuk diketepikan. Tapi saya seolah-olah saya di’sepi’kan. Airmata ketika itu memang mudah keluar tanpa dipaksa.  Bila difikir, moga semuanya ada hikmah. Inilah kisah silam.

Saya terus berusaha, mungkin. Dibantu oleh orang-orang yang tak pernah rapat dengan saya. Tapi apa yang ditemui memang sesuatu yang tak pernah terlintas difikiran. Saya ada sahabat baru. Saya kenal dengan orang yang tak pernah pun saya menegurnya. Saya dah berani (sikit) dari biasa. Saya dapat tahu sesuatu yang orang lain tak tahu. Dan macam-macam lagi sehingga ada kawan-kawan yang menegur, ‘untungla kau sebab begitu dan begini’.  Barulah saya tahu mengapa saya di’sepi’kan. Rupa-rupanya Dia sedang menyediakan saya kearah sesuatu yang terbaik. Alhamdulillah. Memang sabar itu besar kuasanya. Sepi itu untuk sabar dan sabar itu ada hikmah. Hikmah itu dariNya dan dariNya adalah yang terbaik melebihi apa yang kita ingini. Memang perit rasanya. Tapi hendak dibandingkan keperitan kita, apa sangatlah dengan ganjaran yang diberinya. Saya hanya ingin berkongsi. Saya hanya ingin mengatakan yang sepi itu bukan keseorangan. Tapi sepi itu kita berada dengan kita dan antaranya ada Dia.

Jadi janganlah sesekali putus asa dari berharap padaNya. Percayalah padaNya sekalipun seluruh dunia ini telah memperdayakan kamu. Percayalah, rahmatNya terlalu luas untuk dibayangkan. Sematkan dalam hati bahawa lambat laun bantuanNya akan tiba. Tidak kira sekecil mana bantuan yang kamu perlukan dalam apa hal sekalipun.

“ berdoalah kepadaku, nescaya akanku perkenankan padamu”

Itu janjiNya dan Dia tak akan pernah memungkirinya. Usah malu untuk meminta. Jom kita sepikan diri dari dunia walaupun sejenak!!! 

Thursday, October 27, 2011

Man Arifa Nafsih, Faqad Arifa Rabbih

Curahan jiwa luahan hati…pada Yang Satu….

Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh…=)

Seperti biasa, entri seringkali terlambat, terlewat,kekontangan idea untuk menulis..walaupun secebis 

ayat..bukan tidak layak, bukan tidak mampu tapi tidak tergerak jari-jemari untuk menaip, walaupun satu huruf

 untuk ummat..kerdilnya hakikat hambaMu ini Ya Allah..ku gagahkan jua. Demi Istiqamah memandangkan 

jalan ini yang ku pilih, maka selamanya ku berkhidmat di jalan ini, walaupun tiada yang memerlukanku, tapi 

aku perlukannya...


Sedikit luahan jiwa, untuk tatapan mata dan hati sendiri di kala sunyi, bukan publisiti yang ku harapkan, tapi 

sokongan ruh aku perlukan, tiada lagi jiwa lembut yang hanya mampu menangis sahaja, ku cuba tubuhkan 

sebuah jiwa yang kental, bertekad membilang azam,walau sesekali jalannya gelap di mata..kusuluhnya dengan

 cahaya taubat, walaupun ia malap, manusia tak akan selamanya berada di alam terang-benderang, sesekali 

cahaya hampir terpadam, moga pengakhirannya adalah di dalam cahaya…

Memang, ku akui diri ini terasa terlalu sunyi dari kasihNya, bukan sunyi dari menerima, tapi sunyi dari mencari

 dan memberi…ku tinjau sahabatku sekeliling, adakah aku yang leka dari menyeru mereka, atau aku yang 

lalai tanpa sebarang pimpinan…


Sahabat, itu yang membuatku bahagia hingga ke hari ini..ibu bapa ku, abang kakak dan adikku,  adalah 

sahabat terbaikku, kawanku,perjuangan ku, sahabat yang membahagiakan ku..rakan taulanku, juga 

sahabatku, walaupun tidak seerat yang lain, barakahnya tetap ada..tapi siapa aku di mata mereka..bukan 

pangkat atau pujian yang kuharapkan..kucuma ingin tahu, sahabatkah aku bagi mereka??kalau ya, itulah yang

 ku idamkan, kalau tidak, bukanlah satu kesedihan bagiku…cukuplah mereka itu sahabatku walaupun aku 

bukanlah sahabat mereka…

Setakat itu sahaja ayat monolog..hehe

Susah bukan bahasa monolog ni.. tapi inilah yang sedang bermain fikiran..pelbagai masalah..perkara biasa. 

Tapi penyelesaian itulah yang luarbiasa yang mendambakan setitis pengorbanan dari segenap aspek..Moga Allah menilainya..

Oh ya, mengapa luahan rasa..

Entah, terasa terlalu sunyi bila berada di alam maya..sebenarnya,sekadar curahan perasaan..bukan meminta 

belas, tapi sebagai tempat mencurah kata..hingga ke hari ini, tiada sahabat yang mengetahui kewujudan blog 

peribadiku..malu bila sahabat baca luahan dan belum layak untuk dipublishkan utk sahabat-sahabat yang 

kebanyakannya memang hebat bila berada di pentas penulisan. Mungkin juga bila ada yang lalu-lalang di blog

 ni tertanya, siapala yang menulis ni..orang ke apa…yela..sedikitpun tidak ada apa-apa yang 

menarik..ya..memang..tepat sekali sebab tujuan aku menulis bukan untuk tarikan..tapi hanyalah setitik 

perkongsian apa yang terbuku di minda..yang mana betul, betulla..yang tak betul, mesti ada…


Sedikit bahan Ta’aruf penaip saksimalam….

Segannya ada, tapi takpala, sikit saja..hehe

Diriku berasal dari bumi impian jiwa ini, Kelantan, mungkin tiada apa-apa yang menarik bagi kalian, tapi bagi 

diriku, di sinilah kurasai ketenangan ya Dia kurniakan..keamanan dan ilmu yang tidak aku temui di bumi yang 

sedang ku pijak sekarang. Auranya tetap membangkitkan rasa rindu untuk kembali ke tanah Che 

Siti..pelajaran ku diteruskan ke bumi Nilai yang harap-harap nya kenilaiannya sungguh bernilai di sisi Illahi 

walaupun sekadar melukut di tepian rahmatnya…sinar Islam tetap ada di sini..mungkin masih malap, tapi 

ianya ada…aku dicampakkan Illahi untuk menuntut sedikit ilmu Dakwah dan secebis perkara pengurusan di 

sini..mungkin ada hikmahnya walaupun title dakwah yang di bawa kurang praktikum nya..tapi alhadulillah, 

sedikit sebanyak pengalaman yang di kaut, dicurahkan istimewa untuk adik-adik usrah..di mana sahaja..


Aku ini ber abang lima dan ber kakak tiga serta ber adik seorang..ber anak buah Alhamdulillah, berdua puluh

 menggegarkan bumi rumahku di Tanah Merah..berstatus muslimat, yang belum dapat dijanjikan mukminah 

atau tidak, berpegang title bujang yang ditunangkan dengan kasih Illahi dan dikahwini dengan Islam serta 

bersahabt karib dengan Ilmu..

Aku ini pernah bercita-cita dan masih lagi mengharapkan untuk menjadi mukhlisah,mujahidah yang lembutnya

 di hati, tegasnya pada peribadi..

Oh terlupa..namaku kesaksian malam bintu Ali As..didepan namaku tercatat huruf-huruf pangkat yang 

dikatakan waris diraja,tapi raja dunia bukannya raja akhirat…impian ku ingin menjadi syuhada’, menjadi 

sepopular Uwais al-Qarni, menjadi se untung Bilal bin Rabah..

Aku ingin ceriakan hidup ini dengan ilmu, berbekalkan amal yang sepatutnya..

Ku ingin melihat sahabat-sahabatku bersama bergandingan tangan dan hati di medan perjuangan ini. 

Walaupun aku hanyalah peminta dan pemberi harapan sedangkan Dialah pemakbulnya..tetap aku doakan 

selagi aku terdaya..inilah hidupku…

Wednesday, September 14, 2011

perkongsian karya

Assalamualaikum warahmatullah...

Hari-hari yang berlalu, terasa begitu pantas masa melambai meninggalkan kita. Terlalu cepat jam berputar merentasi masa. Tapi bagaimanakah kita? Bagaimana dengan keadaan kita? Adakah kita mengejar dan memanfaatkan masa sepantas mana ia berlalu? ataupun masa itu kita tanam di kuburan sia-sia sahaja??

Kali ini ana tertarik dengan sebuah cerpen. Memaknakan kita apa itu cinta. Cinta Ilahi. Cinta yang Satu. Itu bukan bermakna cinta Ilahi hanya terhad kepada beribadah semata. Tapi cinta Ilahi terselit di mana-mana. Meskipun ketika merasai cinta manusia yang berasaskan cinta Ilahi, itu juga cinta Ilahi..

Jom baca cerpen. Mempersembahkan, Yang Tertinggi Cintanya- karya di Langititlahi.com...=)




Cerpen: Yang Tertinggi Cintanya.

Al-Quran itu dipegang dengan kemas. Mata menumpukan perhatian. Hati seakan-akan sedang bersemayam di atas awan. Membaca dengan penuh penghayatan.
Dia perlukan ketenangan yang lebih. Allah sedang mengujinya.
Surah Toha itu dialun suaranya, gemersik memenuhi ruang biliknya. Surah kesenangan di kala gundah, surah kekuatan di kala susah.
“Ehem.”
Dan pembacaannya terhenti. Perlahan-lahan dia menoleh.
Farid Mursyidi sedang menyandarkan bahu pada bingkai pintu, dengan wajah dihiasi senyuman nakal.
“Nak apa?” Dia bertanya perlahan, sambil memusingkan seluruh tubuhnya, tetapi masih kekal bersila. Dia tahu, pastinya Farid perasan wajah monyoknya itu. Perlahan-lahan Farid mendekatinya.
“Masih bermasalah dalam membuat pilihan wahai sahabatku Syakir Muntasir?” Bahunya ditepuk, dan Farid kini bersila di hadapanya. Lutut bertemu lutut.
“Aku masyghul la. Keputusan yang sukar.” Syakir menggaru kepala.
“Istikharahnya macam mana?”
“Apa, kau ingat semua istikharah keluar mimpi bagi jawapan? Kalau macam itu baik aku istikharah setiap malam periksa.” Syakir menjelirkan lidah. Farid seakan-akan tidak tahu bagaimana sistem istikharah yang sebenarnya berfungsi.
Farid tertawa senang. Bahu Syakir ditepuk beberapa kali. Mungkin memahami, sambil terkesan dengan canda tadi.
Istikharah bukanlah satu keajaiban untuk menggolekkan jawapan kepada kita. Istikharah hakikatnya perlu diiringi usaha membuat kalkulasi yang baik. Tanda istikharah bukan semestinya mimpi, tetapi hakikatnya adalah ketenangan hati yang kuat apabila membuat keputsan.
“Aku nampak jalan ke sebelah B lebih benar dan aku macam lebih tenang ke sana.” Syakir melepaskan keluhan. Nampak bahawa Jalan B bukan jalan pilihan asalnya.
“Kau rasa, kalau kau pilih jalan B, jalan A akan hilang?”
Dan kini matanya dan mata Farid bertaut. Sengih kelat muncul pada wajah Syakir. “Lebih kurang. Kau tahu aku cintakan Humaira’ bukan? Aku hanya perlu tunggu dua tahun sahaja lagi.”
“Tapi pada masa yang sama, kau perlu berkahwin sekarang. Kau adalah orang yang siap, sudah bersedia, dan kau memang perlu kahwin. Kalau tak, resah gelisah tak berhenti. Fokus terganggu. Namun, memilih Anum Sakeena ada downsidenya.”
“Ada ‘banyak’ downsidenya.” Syakir menambah.
Farid pula yang menghela nafas kali ini. Ya, keputusan yang sukar.
“Kadang-kadang Syakir, walaupun kita ini manusia yang ikuti jalan dakwah dan tarbiyah, kita masih terikat dengan gari-gari dunia bukan?” Farid menolak tubuh, bersandar pada dinding. Melunjur kaki, sambil memandang siling.
Jiwa Syakir seakan tercucuk dengan kalam itu. Dia melihat sahaja sahabatnya itu.
“Maksud?”
“Yalah. Kalau aku, aku akan biarkan sahaja Anum. Aku akan sanggup tunggu Humaira’. Aku sanggup menderita dua tahun, dari ambil risiko duduk dengan Anum. Tambahan, dalam posisi kau, aku cintakan Humaira’. Tinggal…” Kata-kata Farid terhenti. Dia melirik kepada Syakir.
Mata Syakir dan Farid bertemu. Syakir hanya diam. Ingin Farid menyempurnakan bicara.
“Tinggal kita tahu, Anum memerlukan bantuan kita, pertama. Kedua, dalam posisi kau, kita memerlukan kehadiran Anum yang sanggup berkahwin dengan kita sekarang. Ketiga, hajat Anum bukan hajat yang kecil, dan belum ada yang sanggup membantunya, sedang kita telah terlanjur memikirkannya, tambah pula dalam posisi yang siap untuknya.”
“Kita? Kau ajalah yang pergi ambil Anum.”
Farid tertawa. “Kita di sini bermaksud kau lah. Aku mana mampu kahwin lagi. Kau dah mampu, tinggal kena tunggu sebab nak kejar cinta sahaja. Itulah yang aku kata, kita ini walaupun ikut jalan dakwah dan tarbiyah, kita masih terikat dengan gari-gari dunia. Kita amat tahu relevannya hajat Anum, tetapi kita rasa sukar nak penuhi hajat dia, sebab hajat dia tak ada harganya di atas dunia. Hanya berharga di akhirat sana. Aku sebut kita, sebab kalau aku jadi engkau, aku sendiri jadi berat.”
Suasana bilik itu senyap sebentar. Seakan menunggu giliran, azan isya’ dari Masjid University of Yarmouk kedengaran. Azan mendayu-dayu, seakan waktu rehat dari perbincangan yang mengkusutkan itu.
Dunia dan akhirat. Orang-orang yang mengikuti jalan dakwah dan tarbiyah pun, adakalanya masih tergari dengan dunia. Sedangkan, secara sedarnya, dia tahu apa pilihan yang patut dia lakukan.
Azan tamat. Doa. Mata Farid dan Syakir kembali bertemu. Masih senyap.
Perlahan-lahan Farid berdiri, dan mendekati Syakir. Bahunya disentuh lembut.
“Mungkin ada waktu itu, kita kena belajar untuk campak segala-galanya, dan hanya percaya kepadaNya. Kena berani buat leap of faith.”
Kemudian Farid bergerak keluar dari bilik. Pastinya hendak menuju ke masjid.
Syakir keseorangan.
Campak segala-galanya, dan hanya percaya kepadaNya.

*******

Anum Sakeena. Seorang yang pada zahirnya kelihatan seperti bidadari. Dia lawa. Dia cerdas. Dia juga aktif dalam urusan dakwah dan tarbiyah. Lebih mencantikkan peribadinya, dia tiada kasta. Dengan rakan-rakan yang tidak berapa faham Islam pun, dia masih bergaul, mendekati, dan memesrai. Sebab itu pelajar-pelajar perubatan dan pergigian di Jordan amat mengasihinya. Pembetulan, semua pelajar di Jordan ini mengasihinya.
Namun Allah SWT menguji. Anum Sakeena dipercayai mempunyai Systemic Lupus Erythematosus atau SLE. Satu penyakit yang akan meragut nyawanya untuk satu jangka masa yang tidak lama lagi. Tetapi tiada siapa yang melihat Anum Sakeena bersedih hati atau kegelisahan. Dia seakan-akan manusia paling tabah yang berjalan di atas dunia ini. Dia tidak pula pulang ke Malaysia dan berhenti belajar seakan-akan dunia telah kiamat. Dia masih meneruskan kehidupan, studi dengan rajin, dan hidup dengan gembira.
Tetapi, ada satu perkara yang menggusarkan Anum Sakeena. Dan perkara itu tidak diceritakan kepada sesiapa, kecuali seorang manusia yang diyakininya dalam keadaan mampu, dan mungkin akan membantunya.
Itulah dia Syakir Muntasir. Pelajar Tahun 3 Fiqh Wa Usuluhu di University of Yarmouk. Satu angkatan dengan Anum Sakeena, tinggal Anum Sakeena mengambil pengkhususan Iqtisod Islami.
Syakir Muntasir sangat terkenal dengan manusia yang lebih tua dari usianya. Walaupun di luar Syakir kelihatan seperti manusia yang tidak peduli apa-apa, tetapi apabila keadaan memerlukan seorang Syakir Muntasir untuk serius, tiada sesiapa yang mampu menghentikannya. Fikirannya matang, fikrahnya jelas, disiplinnya tinggi, pandangannya jauh, dan dia seorang yang siap untuk memikul tanggungjawab yang besar, juga mampu menghadapi banyak dugaan kehidupan.
Dan Anum Sakeena amat pasti, Syakir Muntasir sedang mempersiapkan diri ke gerbang perkahwinan, memandangkan ura-ura bahawa lamaran lelaki itu ditolak, atau lebih tepat lagi, ditangguhkan untuk diterima, telah tersebar dalam komuniti di sini. Perempuan itu nampaknya tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab pada ketika ini. Dua tahun dimintanya tangguh. Berita sebegini tidak sukar didapati, kerana Syakir Muntasir sangat terkenal di sini. Sama ada dia mendiamkan segala cerita di dalam tubuhnya seorang, atau cerita itu akan bergerak meliputi seluruh Jordan dalam masa yang sekejap sahaja. Dan Syakir Muntasir juga manusia, pasti paling kurang dia akan berkongsi masalah hidupnya dengan teman-teman karib.
Mendengar berita itu, Anum Sakeena terasa seakan-akan Allah membukakan jalan untuknya. Walaupun dia tidak tahu, apakah perancangan Allah SWT yang sebenarnya, namun nyatanya dia telah membuat kalkulasi dan merasakan inilah yang terbaik. Maka dengan berani, setelah mendapat izin ibu ayahnya, dia mewakilkan seorang senior tahun 6 Perubatan untuk menyampaikan hajatnya kepada Syakir Muntasir.
“Anum Sakeena ingin dirinya dikahwini Syakir Muntasir, kerana adalah satu hajatnya yang besar sebelum meninggalkan dunia ini dia meninggalkan satu saham akhirat yang besar untuk dirinya, dan meninggalkan satu hadiah yang besar untuk Islam di atas dunia. Itulah dia seorang anak. Anum Sakeena ingin ada cebisan dirinya, yang tinggal di atas dunia ini untuk terus memberikannya pahala, dan berjuang untuk Islam buat dirinya.”
Dan saban hari, Anum Sakeena berdoa agar Allah SWT memakbulkan hajatnya, atau memberikannya sesuatu yang lebhi baik.
Itulah hajatnya.
Dan bukan sebarang orang akan menyahutnya.

******

Lepaskan segala-galanya. Hanya percayakan Dia!
Syakir bangun dari pembaringannya malam itu. Saat dia yakin dan tenang dengan keputusannya. Saat dia membuat keputusan, untuk membuat satu anjakan paradigma, lompatan saujana yang akan mengubah lorong hidupnya.
Dia mencapai telefon bimbitnya. Ibu Humaira’ dihubungi.
“Ibu, Syakir rasa, Syakir nak buat keputusan ini.”
Dan hanya esak tangis sahaja kedengaran. Syakir tabah. Tidak tergugah.
Ummi Abahnya dihubungi. “Syakir nekad.”
Dan Ummi Abahnya tidak berkata apa-apa lagi. Menyokong, dan mendoakan.
Dia menggenggam erat tangannya. Keputusan yang berat. Tetapi hendak diluahkannya.
Lepaskan segala-galanya. Hanya percayakan Dia!
Mendail nombor terakhir. Kak Rasyidah, pelajar perubatan tahun 6 yang menghubunginya tempoh hari mewakili seorang Anum Sakeena.
“Akak, saya setuju. Sampaikan kepada Anum.”
Dan selepas itu dia terduduk.
“Aku telah membuat lompatan itu Ya Allah. Dan sekarang, aku serahkan diriku sepenuhnya kepada Engkau. Sungguh, aku hanya hambaMu yang tidak mengetahui apa-apa. Membuat keputusan ini, sekadar ingin menghormati seorang mujahidah yang benar-benar mencintaiMu Ya Rabb. Nyatanya, aku sebelum ini tidak mencintaiMu sehebat Cintanya, yang walau matipun masih ingin terus berjuang untukMu.”
Bukan senang melepaskan apa yang selama ini dikejar. Bukan senang memilih sesuatu yang diketahui tidak lama lagi akan hancur. Bukan senang hendak mengenepikan pilihan sendiri, perasaan hati, untuk memilih sesuatu yang benar dan hakiki, kerna biasanya walaupun pilihan diri itu salah, itulah yang disenangi. Dan hari ini dia melakukan, apa yang ramai manusia tidak mampu.
Lepaskan segala-galanya. Hanya percayakan Dia.
Air mata mengalir deras di pipi Syakir Muntasir malam itu.

******

“Sebenarnya, berapa lama lagi masa untuk awak hidup?” Soalan itu muncul dikala langit sedang indah ditemani bulan mengambang.
Anum menatapnya, dan tersenyum. “Tidak tahu. Tetapi doktor kata, boleh jadi panjang sekiranya tidak melahirkan anak. Awak pun dah dengar nasihat doktor masa awal-awal teman saya buat pemeriksaan semula dulu, bukan?” Dulu. Macam telah lama. Sedangkan, mereka baru setahun berkahwin.
“Jadi, kenapa hendak melahirkan anak?”
Senyuman Anum melebar. Dan senyuman itu sangat-sangat indah. Bulan mengambng jua bukan tandingan. Nyata ini syurga yang berada di atas dunia. Dan Syakir merasainya.
“Awak sudah tahukan?”
Dan giliran untuk senyumannya pula memekar.
“Tidak takut?”
Anum menggeleng. “Sebab akhirnya, kita akan mati juga. Lebih baik mati meninggalkan sesuatu untuk akhirat kita, daripada mati tidak memberikan apa-apa.”
Tangan Anum dipegang erat. Dikucup. “Saya minta maaf.” Lembut Syakir bersuara.
Anum mengiring. Kerusi malas yang menjadi tilam pembaringan mereka kini berbunyi. Antara aktiviti kegemaran, berbaring di atas kerusi malas bersama-sama, sambil menatap bulan mengambang indah. “Kenapa nak minta maaf?”
“Sebab awal-awal dahulu, saya tidak mencintai awak. Saya sebenarnya ragu-ragu. Tetapi hari ini, saya rasa saya tidak sepatutnya ragu-ragu. Saya sepatutnya terus menyahut.” Syakir turut mengiring. Wajah mereka berhadapan.
Majlis kahwin mereka sederhana sahaja. Ummi Abah datang ke Jordan bersama keluarga Anum, dan mereka berkahwin di Jordan. Saudara mara yang tahu, tidak ramai memberikan sokongan. Sebab semua melihat seakan-akan dia melemparkan diri ke dalam satu kecelakaan. Dia dihujani pelbagai tohmahan dari keluarganya sendiri yang tidak memahami. Abah dan Ummi pun tidak banyak membincangkan hal ini, kerana pada asalnya, Abah dan Ummi juga tidak berapa setuju. Tinggal keyakinannya sahaja yang akhirnya membuatkan tindakan itu mendapat restu.
Bukan satu keputusan yang mudah.
Hanya yang berani melepaskan segala-gala, dan percaya hanya padaNya sahaja yang mampu.
Tetapi hari ini, kepercayaan Syakir itu terasa seperti telah dibalas.
“Em, awak memang patut ragu-ragu. Bukan satu keputusan yang ringan. Dan saya yang patut minta maaf. Sebab saya macam dah hancurkan hidup awak. Awak tak berada di atas ‘track’ yang awak nak.” Anum mendekatkan wajahnya, hingga dahinya dan dahi Syakir bertemu.
Syakir menggeleng perlahan. Dahi mereka bergesel. “Ini memang bukan ‘track’ yang saya nak. Tetapi saya rasa, ini ‘track’ yang Allah nak, berdasarkan apa yang saya dapat bila bersama awak selama ini.”
Bayangkan, melihat bakal mayat yang langsung tidak seperti manusia yang berpenyakit maut. Hidupnya tetap ceria. Hidupnya tetap bersemangat dan gembira. Studinya terjaga, bahkan dijaga pula studi Syakir. Anum banyak memunculkan momen-momen indah. Program-program yang mengingatkan mereka berdua kembali kepada Allah SWT juga hangat dirancang oleh Anum. Rumah mereka seakan-akan bercahaya.
Baca Al-Quran sama-sama, malam Jumaat qiamullail bersama, Isnin Khamis puasa bersama, studi bersama-sama, keluar beriadhah di kala petang bersama-sama, pergi berziarah rakan-rakan bersama-sama, melaksanakan program dakwah dan tarbiyah bersama-sama. Dan banyak perkara lagi. Dalam semua itu, dia belajar daripada Anum.
Bagaimana walaupun tahu umur tidak panjang, kekuatan tetap mengisi kehidupan dan diri terus-terusan bergerak dengan cergas hidup sebagai hamba Tuhan. Tidak merungut menyumpah Allah SWT yang memberikannya penyakit itu. Tidak pula mengeluh. Tetapi apa yang dilakukan adalah, mencari segenap ruang dan peluang, mengisi hari-hari yang berbaki untuk menjadi bermakna. Bermakna kepadanya, dan kepadaNya.
Syakir Muntasir bersyukur. Dia tidak tahu bagaimana kalau dia terus menunggu Humaira’. Dua tahun bukan jangka masa yang pendek. Pasti pelbagai halangan, cabaran dan dugaan muncul. Namun memilih Anum, dua tahun itu tidak dilaluinya. Dia melalui saat-saat indah pada setiap masa.
Dia yang awal-awalnya serba salah, kini rasa tenang. Anum Sakeena, seindah namanya. Anum: Rahmat daripada Tuhan. Sakeena: Ketenangan.
Syakir berharap, ketenangan dan kebahagiaannya kekal.
Kekal…
Tiba-tiba terasa tangannya dipegang erat. Dia kembali ke alam realiti, dengan Anum di hadapannya.
“Awak, saya ada satu berita gembira sebenarnya malam ini.”
“Apa dia?” Bibirnya terhias dengan senyuman.
“Saya mengandung. Tiga minggu.”
Matanya membesar.
Kekal…
Itu mustahil bukan?

*******

Harinya tiba. Dan dia hampir sahaja tidak percaya semuanya berlaku dengan pantas.
Kini dia hanya berdiri, dan di hadapannya adalah sekujur mayat yang telah kaku. Minit-minit terakhir amat memeritkan hatinya. Kini air matanya menitik-nitik pada bayi lelaki yang sedang berada dalam gendongannya.
Semalam, Anum Sakeena selamat melahirkan anak. Namun akibatnya, kondiri kesihatannya merudum di tahap kritikal. Kerosakan pada organ dalamannya merebak dengan pantas akibat melahirkan anak. Satu perkara yang telah lama dipesan oleh doktor.
Beberapa bulan yang lepas, Doktor menasihatkan agar digugurkan kandungan untuk memanjangkan lagi nyawa Anum. Tetapi isterinya berkeras.
“Saya tetap akan mati juga!”
Dia sendiri, di dalam hati, inginkan Anum Sakeena hidup lebih lama. Dia bahagia dengan Anum. Dia rasa tenang dengan Anum. Tetapi melihat nekadnya isterinya, dan mengapa mereka berkahwin pada asalnya, membuatkan dia tidak pernah menyebut hajatnya itu. Dia menghormati cita-cita isterinya. Anum Sakeena terus mengandung hingga pada hari melahirkan anak mereka.
Sempat pula menduduki peperiksaan final pada tahun akhirnya, dalam keadaan sarat mengandung. Hari-hari sepanjang mengandung, dia tetap ceria, walaupun kandungan itu seakan bom jangka yang menandakan hari kematiannya.
“Awak tahu apa yang saya seronok?”
“Apa dia sayang?”
“At least, saya tahu bila saya mati. Boleh persiapkan diri habis-habisan.”
Anum menjawab dengan senyuman seakan-akan itu bukan satu musibah.
Ketika itu, Syakir Muntasir terpaksa meminta izin untuk ke tandas, dan menangis teresak-esak di dalam tandas keseorangan. Tersentuh.
“Kenapa awak tak pernah takut? Orang ramai takut mati.”
“Ah ah, takut buat apa? Pelik, kenapa mesti takut untuk balik kepada Yang Maha Mencintai kita?”
Tersentuh. Entah, hari-hari anak itu berada di dalam rahim Anum, terasa seperti saat kemuncak kehidupan seorang Syakir Muntasir. Matanya lebih terbuka. Dia lebih banyak belajar. Hatinya jadi lebih senang tersentuh. Dan pertama kali dia merasakan bahawa, dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Langsung tidak punya tenaga, seakan itulah pertama kali dia menyedari kekerdilan dirinya terhadap Rabbnya.
“Nama dia, Mujahid Muntasir. Pejuang yang mendapat bantuan. Sebagaimana Syakir Muntasir, orang yang bersyukur yang mendapat bantuan.” Dia bersuara menamakan anaknya itu semalam, di hadapan Anum yang teramat lemah.
“Awak dapat bantuan apa?” Anum Sakeena yang pucat lesi ketika itu bertanya sambil tersenyum, walaupun senyumannya ketika itu kelihatan tawar kerana kepenatan dan menanggung kesakitan teramat.
“Allah beri bantuan, untuk saya pertingkatkan kehidupan dan pemikiran saya, dengan awak, sayang.” Jawapannya. Seikhlas hati. Tetapi itu tidak menyelamatkan nyawanya.
“Terima kasih sebab terima saya. Terima kasih, kerana merealitikan impian saya. Sekarang saya rasa sudah tiba masanya.” Anum dengan air mata meleleh, pagi tadi. Meragut segala ketenangan yang wujud di dalam jiwa Syakir.
Doktor memanggilnya masuk pagi tadi, dengan menggendong anak mereka, dia duduk di sisi perempuan yang dicintainya. Nyata, doktor memberikannya peluang untuk mengucapkan selamat tinggal.
Dia tidak mampu berkata apa-apa. Air matanya lebih deras dari air mata Anum.
“Anak Ummi, jadi saham akhirat Ummi ya. Mujahid, jadi Mujahid ya. Membesar jadi anak yang soleh, da’ie yang baik, tewaskan jahiliyyah, dan bawa seramai mungkin manusia ke syurga Allah ya?” Tangan Anum yang terketar-ketar ketika itu, berusaha mengusap lembut bayi mereka.
“Saya cintakan awak Anum Sakeena.”
Anum ketika itu menggeleng. “Awak cintakan Allah, sebab itu awak cintakan saya. Lepas ini, kerana cintakan Allah itu, awak akan berkahwin dan mencintai pula perempuan yang lain. Sebagaimana kerana awak cintakan Allah, awak menerima dan mencintai saya. Awak, jaga diri ya?”
Akhirnya dengan lafaz syahadatain dan wajah penuh ketenangan seperti seorang pemenang, Anum menghela nafas terakhir sebentar tadi. Dan Syakir Muntasir kini sekadar berdiri di sisinya, bersama Mujahid Muntasir yang masih tidak mengetahui apa-apa.
Cinta inilah yang tertinggi.
Cinta kepada Allah, hingga merancang untuk beramal selepas kematian.
Cinta kepada Islam, sehingga merancang untuk terus menyumbang selepas kematian.
Cinta kepada orang sekeliling, hingga mendidik agar semuanya mampu terus bergerak selepas kematian.
Cinta yang sebenar, hingga mampu memutuskan segala gari dunia, yang mengikat pada tubuh hamba. Benar-benar seakan berdiri di atas jalan yang cerah, dan tidak berselirat dengan perangkap ke neraka.
Pada umurnya baru 23 tahun, Syakir Muntasir seakan-akan telah mendapat sesuatu yang besar. Dirinya seakan-akan seorang yang baru.
Teringat dia pada saat dia membuat keputusan ini. Keputusan yang mengorbankan rasa hati, untuk memenuhi rasa Ilahi. Dia melihat apa yang dia perolehi hari ini.
“Ya Allah, aku rasa bersyukur membuat lompatan itu dan mempercayaimu.”
Air mata Syakir Muntasir tidak berhenti.
Dan akhirnya Mujahid Muntasir terjaga, dan menangis.

******

30 tahun. 7 tahun telah berlalu.
“Tua dah kita ni ya?” Suara Farid menariknya kembali.
Syakir mengangkat sebelah kening.
“Belum cukup tua untuk berhenti bekerja sebagai hambaNya.”
“Tua yang itu, hanya di kala mati sahaja.” Farid tertawa.
“Dan ada orang, merancang bagaimana di kala ‘tua’nya, masih mampu menyumbang.” Syakir menghela nafas.
Dia dapat melihat Farid mengangguk perlahan. “Aku banyak belajar daripada dia. Nyata, dua tahun bersamanya adalah untuk menjadikan aku, aku yang hari ini.”
“Kita sama-sama belajar daripada dia. Semoga Allah rahmati dia di akhirat sana.” Farid bersuara, sambil terus memandang horizon.
Bunyi ombak menghempas pantai mengisi ruang senyap antara mereka.
“Abah, abah!” Satu suara memanggil.
Dia dan Farid sama-sama menoleh. Seorang anak lelaki berumur 5 tahun, comel, berlari-lari mendapatkan Syakir. Terus merebahkan diri dalam pelukan Syakir.
“Anak saudara pakcik nak apa dengan Abah dia ni?” Farid menggeletek. Anak itu tertawa.
“Mukmin cari Abang Mujahid sebenarnya. Kenapa tak nampak dia?” Dia bersuara comel.
“Ah, Abang Mujahid ada di sana.” Syakir menunjuk ke arah batu karang besar yang terdapat pada hujung tunjukannya.
Kelihatan seorang anak lelaki, berumur 7 tahun, bersila dengan tenang sambil menghadap laut, dengan Al-Quran di tangannya. Mujahid Muntasir, itulah namanya.
“Mukmin perlahan-lahan ya pergi pada Abang Mujahid.” Syakir mengucup ubun-ubun Mukmin. Mukmin Muntasir nama penuhnya.
“Em.” Mukmin terus berlari-lari anak ke arah Mujahid.
Farid dan Syakir sama-sama memandang ke arah anak itu berlari.
“Mujahid sedang ulang hafalankah?”
“Mungkin. Bayangkan, pada umur 3 tahun sudah fasih membaca Al-Quran, saat anak-anak lain pelat untuk berbahasa melayu. Umur 5 tahun sudah menghafal 5 juzu’ Al-Quran, dan sekarang dia sudah hampir menghafal 30 juzu’.”
“Aku tahu. Dia juga nampak amat matang. 7 tahun, tapi macam remaja belasan tahun.”
“Genetik ibu dia agaknya.” Syakir tersengih. Teringat Anum Sakeena.
“Naa, tarbiyah sebenarnya. Kau pun cerita, macam mana Anum masa mengandung. Penuh penjagaan, penuh pengisian. Makanan dijaga, ibadah dipertingkat. Itu semua memberikan kesan.” Farid sekadar tersenyum.
“InsyaAllah, Mujahid ini pasti akan membesar menjadi seorang yang hebat nanti.”
“Macam Abah dia.” Farid menyiku Syakir. Syakir sekadar tertawa. Siapa tidak kenal Dr Syakir Muntasir hari ini di Malaysia? Antara orang terkenal yang memberikan motivasi kehidupan kepada masyarakat melalui pelbagai medium. Radio, televisyen, internet. Juga mempunyai Syarikat Consultancy Sakeena, yang giat memberikan motivasi kepada pelajar-pelajar sekolah dan universiti, juga keluarga-keluarga.
“Abang-abang sekalian, makanannya dah siap!” Satu suara lembut melaung.
Syakir dan Farid sama-sama menoleh ke arah suara itu.
Kelihatan Amalina, isteri Farid melambai. Di sisinya terdapat seorang anak lelaki. Anak itu bernama Hasyim Mursyidi. Berumur 4 tahun. Anak itu berdiri antara ibunya, Amalina, dan seorang lagi perempuan.
“Bidadari dah panggil, jom!” Bahu Syakir ditepuk. Mereka bingkas bangun.
Syakir dan Farid berjalan mendapatkan tiga manusia itu. Farid terus berpimpinan tangan dengan Amalina dan Hasyim. Manakala Syakir terus memaut pinggang perempuan yang lagi satu, sambil tersenyum senang.
“Mana Mujahid dengan Mukmin?”
“Itu. Kita kena pergi ambil mereka dulu. Jom?” Syakir menunjuk.
“Jom.”
“Gelaran Aisyah RH adalah Humaira’. Dan dia pernah lumba lari dengan Rasulullah SAW. Dare to race with me o Humaira’ Arisha?”
Terus Humaira’ Arisha berlari.
“Game on Syakir Muntasir!” Humaira’ melambai tangan.
“Tak aci!” Syakir menjelir lidah, dan terus berlari mendapatkan Humaira’.
Nyata, selepas apa yang berlaku kepada Anum Sakeena, Humaira’ menunggunya. Bahkan tersentuh dengan Anum Sakeena, Humaira’ berhajat mencontohi perempuan itu. Yang telah berjaya melepasi sempadan cinta biasa.
Menjadikan cintanya cinta yang tertinggi dari segala manusia.
Syakir Muntasir tersenyum sendiri.
“Aku bersyukur dengan lompatan yang mengubah hidupku itu Ya Rabb.”
Lepaskan segala-gala, percayakan Dia!

http://langitilahi.com/2997/cerpen-yang-tertinggi-cintanya/#more-2997